Saturday, August 21, 2010

Penjelasan mengenai solat sunat witir

Saya telah dihubungi oleh seorang kawan diawal Ramadhan yang lalu menceritakan mengenai imam di surau tempatnya semasa solat witir yang ditunaikan tiga rakaat satu salam tetapi telah duduk untuk tahiyyat awal pada rekaat kedua sama seperti melakukan solat Maghrib. Tindakan imam tersebut telah menyebabkan ada segelintir jemaah yang keliru. Selang beberapa hari selepas itu, saya dibubungi oleh seseorang melalui e-mail dan bertanyakan mengenai kaifiyyat solat witir kerana dia mendapati imam di tempatnya telah melakukannya tiga rakaat satu salam, dia keliru kerana setahunya solat witir hendaklah dilakukan dengan tiga rakaat dua salam.

Dengan itu ada baiknya diteliti isu ini untuk menjelaskan kedudukannya. Sesungguhnya solat witir adalah antara amalan yang utama bagi mendekatkan diri dengan Allah. Sebahagian ulama berpendapat ia adalah sunat muakkad, malah kalangan ulama dalam mazhab Hanafi berpendapat ia adalah wajib. Yang nyata ia adalah suatu amalan yang sewajarnya dijaga oleh setiap Muslim dan tidak meninggalkannya.

Malah Imam Ahmad bin Hanbal berkata: Sesiapa yang meninggalkan witir adalah orang yang tidak baik dan tidak wajar diterima kesaksian darinya. Ini menunjukkan betapa solat witir sangat diberatkan melakukannya.

Adapun cara melakukannya bolehlah direngkaskan seperti berikut:

i. Waktunya:

Bermula sebaik selepas solat Isha` dan berpanjangan sehingga naik fajar. Berdasarkan sabda Nabi SAW: Sesungguhnya Allah menyediakan untuk kamu dengan satu solat iaitu witir, dijadikan Allah bagi kamu antara solat Isha` hingga naik fajar. (HR al-Tirmidhi: 425 dan disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmidhi.

ii. Adakah afdhal dilakukan di awal waktunya atau diakhirnya?
Berdasarkan hadith dinyatakan bagi mereka yang mempunyai keazaman yang tinggi untuk melakuk pada akhir malam, maka bangunlah di akhir malam, afdhal baginya ialah mengakhirkannya kerana solat diakhir malam itu afdhal kerana ia disaksikan. Mereka yang bimbang tidak dapat bangun diakhir malam maka berwitirlah sebelum ia tidur berdasarkan hadith Jabir RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang bimbang tidak dapat bangun di akhir malam maka berwitirlah pada awalnya, sesiapa yang berazam kuat untuk bangun di akhir malam maka berwitirlah di akhir malam, sungguhnya solat akhir malam itu disaksikan dan dengan demikian ia afdhal. (HR Muslim, 755).
Imam Nawawi berkata: Inilah yang betul. Diandaikan hadith-hadith lain yang mutlak bentuknya berbanding keafdhalan yang jelas yang dinyatakan dalam hadith ini, seperti hadith: “Telah berpesan kepada saya kekasih saya (iaitu Rasulullah SAW) agar jangan tidur kecuali dengan witir, diandaikan bagi mereka yang tidak yakin ia dapat bangun diakhir malam. (lihat: Syarh Muslim, 3/277).

iii. Bilangan rakaat:

Sekurang-kurang bilangan witir adalah satu rakaat berdasarkan sabda Rasulullah SAW: Witir itu satu rekaat di akhir malam (HR Muslim, (752) dan sabda Rasulullah SAW; Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat, jika seorang kamu bimbang masuknya waktu subuh maka solatlah satu rakaat sebagai witir bagi apa yang kamu solat sebelumnya.(HR al-Bukhari, 911). Harus dikerjakan solat witir dengan tiga, lima, tujuh dan sembilan rakaat.

Jika melakukan solat witir tiga rakaat, ada dua caranya, kedua-duanya mengikut syarak.

Pertama: Dikerja tiga rakaat sekaligus dengan satu tasyahhud. Ini adalah berdasarkan hadith `Aishah katanya:

" كان النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يسلّم في ركعتي الوتر " ، وفي لفظ " كان يوتر بثلاث لا يقعد إلا في آخرهن "


Rasulullah SAW tidak memberi salam pada rakaat kedua witir. Dalam riwayat lain: Baginda berwitir tiga rakaat dan tidak duduk kecuali diakhirnya. (Diriwayatkan oleh al-Nasaii 3/234; al-Bayhaqi, 3/31.

Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk (4/7) berkata: Diriwayatkan oleh al-Nasaii dengan sanad yang hasan dan al-Bayhaqi dengan sanad yang sahih.

Kedua: Bersalam pada rakaat kedua dan witir dengan satu rekaat. Cara ini dilakukan oleh Ibn Umar dimana beliau mengasingkan antara al-syafa’ (solat dua rakaat) dengan witir dengan salam. Dikhabarkan yang Rasulullah SAW melakukan sedemikian. (Riwayat Ibn Hibban, 2435; Imam Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (2/482) berkata: Sanadnya kuat.
Jika berwitir dengan lima atau tujuh rakaat, ia hendaklah dilakukan secara berterusan dan bertashahhud pada rakaat yang terakhir dan salam selepas itu. Berdasarkan apa yang diriwayat dari ‘Aishah katanya:

كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يصلي من الليل ثلاث عشرة ركعة يوتر من ذلك بخمس لا يجلس في شيء إلا في آخرها

Rasulullah SAW melakukan solat malam sebanyak 13 rakaat dan berwitir dengan lima rakaat, tidak duduk antaranya kecuali pada akhirnya. (HR Muslim, 737).

Ummu Salamah RA berkata: Rasulullah SAW berwitir dengan lima dan tujuh rakaat dan tidak diselangi dengan salam antaranya. (HR Ahmad, 6/290; al-Nasaii 1714. Imam Nawawi berkata: Sanadnya Jayyid. Lihat: Al-Fath al-Rabbani 6/290. Hadith ini dinilai sahih oleh Syeikh Nasir al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan al-Nasaii.

Apabila witir dilakukan dalam sembilan rakaat, ia dilakukan berterusan dengan duduk untuk bertasyahuud pada rakaat yang kelapan kemudian bangun untuk rekaat kesembilan dan bertasyahhud pada rakaat tersebut dan bersalam. Berdasarkan hadith dari ‘Aishah:

أن النبي صلى الله كان َيُصَلِّي تِسْعَ رَكَعَاتٍ لا يَجْلِسُ فِيهَا إِلا فِي الثَّامِنَةِ فَيَذْكُرُ اللَّهَ وَيَحْمَدُهُ وَيَدْعُوهُ ثُمَّ يَنْهَضُ وَلا يُسَلِّمُ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّ التَّاسِعَةَ ثُمَّ يَقْعُدُ فَيَذْكُرُ اللَّهَ وَيَحْمَدُهُ وَيَدْعُوهُ ثُمَّ يُسَلِّمُ تَسْلِيمًا يُسْمِعُنَا

Bahawa Nabi SAW solat sembilan rakaat, tidak duduk padanya kecuali dirakaat yang kelapan lalu dia menyebut nama Allah (zikir), memujiNya dan berdoa lalu ia bangkit tanpa salam, bangun solat untuk rakaat yang kesembilan kemudian duduk lalu dia menyebut nama Allah (zikir) , memujiNya dan berdoa kemudian bersalam dengan salam yang kami dengar. (HR Imam Muslim (746).

Jika berwitir dengan 11 rakaat, hendaklah bersalam selepas setiap dua rakaat dan disudahi dengan satu rakaat.

Witir yang dilakukan tiga rekaat, Imam al-Nasaii meriwayatkan dengan sanadnya dari Ubai bin Kaab mengenai surah-surah yang dibaca oleh Rasulullah SAW katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْوِتْرِ بِسَبِّحْ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى وَقُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ

Hadith diatas diriwayatkan oleh al-Nasaii 1729 dan dinilai sahih oleh Syeikh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Nasaii.

Dari riwayat ini didapati Nabi SAW membaca surah al-A’la untuk rakaat pertama, surah al-Kafirun pada rakaat yang kedua dan surah al-Ikhlas pada rakaat yang ketiga.


Inilah kayfiat solat witir yang dinyatakan dalam sunnah Rasulullah SAW. Dengan itu untuk mencapai kesempuraan , kayfiat yang dinyatakan itu seeloknya dilakukan kesemuanya dan tidak terbatas kepada satu cara sahaja , sekaligus dapat mengerjakan sunnah itu semuanya.




والله تعالى أعلم .

No comments: