Wednesday, April 7, 2010

Petikan dari Utusan Malaysia

ARKIB : 26/03/2010
Apa ada pada nama?

Oleh ZUARIDA MOHYIN
agama@utusan.com.my



Ibu bapa disunatkan memberi nama, mengadakan akikah dan mencukur rambut bayi pada hari ketujuh kelahirannya.

--------------------------------------------------------------------------------



KUASA dan aura daripada nama... Teringat penulis pada filem komedi arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul, Ahmad Albab. Filem genre komedi berkisar tentang kehidupan ala Arab mengisahkan bagaimana suami isteri memiliki kekayaan atas nama unik anak mereka.

Bukan sahaja nama anak mereka itu unik tetapi cara ia diperoleh juga unik. Ketukan di pintu oleh si datuk, pencetus nama Ahmad Albab. Begitu juga kalau kita perhatikan kepada peribahasa yang berbunyi: "Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama".

Malah sebagai seorang Muslim yang wajib percaya kepada hari kebangkitan perlu mengakui bahawa nama yang diberikan kepada anak di dunia akan kekal digunakan di akhirat.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Kamu sekalian pada hari kiamat akan dipanggil dengan nama kamu dan nama bapa kamu, maka hendaklah kamu memperelokkan nama kamu." (riwayat Abu Daud).

Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman mengakui sering mendengar ungkapan 'apa ada pada nama?'

Menjelaskan mengapa Islam menganjurkan pemilihan nama yang elok katanya, ia lambang identiti seseorang kerana nama itulah ia dikenali sepanjang hayat dan menjadi sebutan sampai ke hari akhirat.

"Dalam bahasa al-Quran, nama adalah terjemahan bagi perkataan al-Ism yang berasal daripada akar kata al-wasm yang bermaksud tanda. Maksudnya dengan nama akan dapat diketahui dan dikenali seseorang dan menjadi tanda baginya.

"Ada pendapat yang mengatakan ia berasal daripada perkataan al-sumuw yang bermaksud tinggi. Sekali gus memberi makna bahawa nama adalah gambaran ketinggian dan keluhuran tuan yang ampunya.

"Nama juga merupakan gambaran bagi sifat, gaya hidup dan pemikiran kedua ibu bapa seseorang.

"Lazimnya anak-anak apabila bersama-sama rakan sebaya akan membandingkan namanya dengan nama rakan-rakan dan sering bertanya apakah maksud di sebaliknya.

"Akhirnya kedua-dua ibu bapalah yang menjadi rujukan," katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Tambah Fauzi, memberi nama yang baik kepada bayi yang baru dilahirkan adalah salah satu kewajipan bapa terhadap anak mereka. Secara tidak langsung ia menjadi hak anak, yang mesti dipenuhi oleh si ayah.

Dalam satu athar, seorang anak menemui Khalifah Umar dan bertanya mengenai hak seorang anak ke atas bapanya, beliau telah menjelaskan: "Memilih ibunya, memperelokkan namanya dan mengajarkan kepadanya al-Quran".

"Abu Darda ada meriwayatkan yang Rasulullah SAW ada bersabda: Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari Kiamat nanti dengan nama-nama kamu dan juga nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama-namamu. (riwayat Abu Daud).

"Manakala dalam hadis Samurrah, Rasulullah SAW menggabungkan tiga perkara iaitu; akikah, memberi nama dan mencukur kepala yang sebaik-baiknya dilakukan pada hari ketujuh kelahiran.

"Dalam hadis riwayat al-Bukhari daripada Sahal bin Saad al-Sa'idi dijelaskan Ibu Abi Usayd telah membawa anaknya selepas dilahirkan kepada Nabi SAW di mana Rasulullah SAW bertanya mengenai namanya, lalu diberitahu namanya, Nabi bersabda: Tidak! Bahkan namanya adalah Munzir.

"Rasulullah SAW sendiri bila dikurniakan anak daripada Juwairiyyah al-Qibtiyyah telah berkata: Saya telah dikurniakan seorang anak lelaki semalam, lalu saya namakan dengan nama bapa saya, Ibrahim. (riwayat Muslim)."

Yang dimaksudkan nama yang elok dan indah kata Fauzi, adalah yang sedap disebut, mempunyai makna dan maksud yang baik, terhindar daripada makna dan sifat yang dilarang olah agama atau sekurang-kurangnya nama-nama asing dan mengelirukan.

Malah akuinya, nama itu lebih kepada aspek maknawi, namun pengaruhnya terhadap luaran juga besar. Jika tidak masakan ada orang yang sanggup menjaga dan mempertahankan namanya lebih daripada menjaga harta.

Menjelaskan perihal penukaran nama buruk atau tidak elok ujar Fauzi, ia berdasarkan kepada apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Aishah r.a berkata: "Rasulullah telah menukar nama-nama yang buruk" (riwayat Tirmidzi)."

Ibn Umar berkata: "Anak perempuan Umar dinamakan dengan nama 'Asiah (wanita yang derhaka), lalu dinamakan oleh Rasulullah SAW dengan Jamilah (cantik). (riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah)."

Ada kes di mana Nabi SAW menukar nama seorang yang bernama Abdul Hajar (hamba batu) kepada Abdullah. Ada yang bernama 'Asi (yang derhaka) lalu ditukar kepada Muti' (yang taat).

Jelas Fauzi, nama bukan faktor penentu menyebabkan seorang itu menjadi baik. Ia hanya langkah pertama dan permulaan yang semestinya disusuli dengan didikan yang sebaiknya.

"Tugas ibu bapa tidak selesai dengan memberi nama yang baik sahaja. Ia perlu disusuli dengan asuhan dan didikan yang berpanjangan.

"Dalam Islam, terkenal dengan tradisi memberikan kepada individu dengan kunyah atau nama timangan," katanya.

Sheikh Abdullah Nasih Ulwan dalam karyanya Tarbiah al-Awlad telah menyebut beberapa kebaikan daripada nama timangan ini. Antaranya untuk memulia dan menghargai yang ampunya diri, mengembangkan personalitinya dan memeliharakan kegembiraan untuknya bila dipanggil dengan nama timangan.

Di samping itu ia melatih individu untuk berinteraksi dengan orang yang lebih tua.

"Rasulullah SAW pernah memanggil Abu Hurairah dengan Aba Hir. Aishah dengan 'Aishi, Usamah dengan Usaim, Miqdad dengan Qudaim dan sebagainya, namun sekali lagi, ia tiada kaitan dengan nama itu berat untuk dirinya," katanya sambil menambah Islam menyukai yang baik.

Fauzi menjelaskan, syarak menegah menamakan seseorang dengan nama yang dilarang seperti yang khusus bagi Allah atau sembahan-sembahan lain.

Abdul Raham bin Auf berkata namanya sebelum Islam ialah Abdul Ka'bah lalu ditukar oleh Nabi SAW kepada Abdul Rahman.

Begitu juga nama mereka yang melambangkan kekufuran dan yang terkenal dengan kejahatan.

Nama-nama yang memberikan maksud yang tidak baik dan nama-nama yang tidak beridentitikan Islam juga dilarang.

Trend pemilihan nama untuk anak-anak zaman sekarang sudah semakin berubah.

Jelas Fauzi, ia satu yang digalakkan, seandainya ia lebih baik.

"Mungkin ia adalah hasil kesedaran ibu bapa betapa mustahaknya nama-nama yang baik. Apalah maknanya, kombinasi nama ibu dan bapa kalau ia tidak memberikan apa-apa makna.

"Nama anak bukanlah eksperimen yang kononnya lambang kasih sayang suami isteri dengan mengabadikan sebahagian daripada nama ayah dan ibu.

"Gambarkanlah situasi di mana semua orang berhimpun di Padang Mahsyar nanti, dengan menyebut namanya yang tidak diketahui usul asalnya," katanya.

Fauzi juga menyarankan agar nama anak disebutkan sepenuhnya bukan ringkasan.

Psikologi

Sementara itu Ketua Unit Kaunseling, Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Khamsiah Ismail berkata, nama merupakan salah satu daripada anugerah terawal yang diberikan oleh ibu atau bapa apabila mereka memperoleh cahaya mata.

Kebiasaannya, sebelum seseorang anak lahir ke dunia, malah ketika seorang ibu disahkan mengandung, ibu dan bapa sudah mula memikir tentang nama yang sesuai, elok maknanya dan sedap dipanggil untuk anak yang tersayang.

Menurut Dr. Khamsiah, memberi nama yang baik menjadi tuntutan Islam dan budaya Melayu.

Sebab itu setiap pemilihan sebaik-baiknya ada tujuan dan dengan maksud yang boleh menjadi atau mengandungi doa serta dipercayai berkaitan pula dengan pembentukan sahsiah anak tersebut.

"Maka, apabila orang memanggilnya dengan nama tersebut, pada sepanjang hayatnya, mereka seolah-olah berdoa untuk mereka," katanya.

Tambah Khamsiah, hal sama turut berlaku dalam budaya dan adat resam etnik lain. Contohnya, masyarakat Cina percaya bahawa kegagalan memberi nama yang baik akan mempengaruhi perjalanan hidup seseorang.

"Dalam tradisi masyarakat India, nama yang akan diberi kepada bayi itu biasanya dipilih dengan teliti setelah dirujuk kepada takwim Hindu dan menentukan bintang hari kelahirannya," jelas beliau.

Dr. Khamsiah turut mengakui bahawa nama juga memberi kesan psikologi kepada pemiliknya. Nama yang agak kerap dan popular penggunaannya, membuatkan anak-anak berasa seperti orang-orang biasa, berkongsi nama dengan ramai serta kerap pula disebut atau dipanggil.

"Nama-nama yang sebaliknya, jarang didengar, berbunyi pelik dan ganjil mungkin membuatkan yang empunya diri berasa agak terasing. Namun, mungkin ada yang berbangga dengan keunikan itu. Tidak mustahil juga nama pelik itu tidak begitu disenangi kerana tekanan yang dihadapi di sekolah atau bekerja, apatah lagi jika ejaannya juga rumit, susah dibunyikan dan akhirnya dipanggil dengan sebutan yang tidak betul.

"Kesan daripadanya, nama ini mungkin menjadi bahan ejekan atau membangkitkan rasa malu kepada mereka yang akhirnya menyebabkan rasa marah, membangkitkan pergaduhan, malah juga boleh membina perasaan rendah diri.

"Mereka juga mungkin marah kepada ibu atau bapa yang memberi nama tersebut kepada mereka," katanya jika terus-terusan diejek dan pada masa sama, tidak dibantu penerangan yang rasional, berkemungkinan ia boleh menjejaskan perkembangan penghargaan kendiri seseorang itu.

Hakikatnya, terang Khamsiah, nama mendapat perhatian yang cukup besar kerana iai adalah identiti diri dan panggilan untuk saling memahami dalam berkomunikasi dengan orang lain.

Sewajarnya ibu bapa perlu memikirkan nama anak dengan baik dan teliti seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

"Perkara ini mungkin boleh dikaitkan dengan konsep ramalan penyempurnaan kendiri (self-fulfilling prophecy), yang membawa makna seseorang itu akan bertindak selari dengan pendapat tentang dirinya dan seterusnya mengiyakannya dan mengukuhkan pendapat tersebut.

"Selari dengan konsep ini, nama juga dipercayai boleh mempengaruhi pandangan seseorang terhadap dirinya dan tindakan atau kelakuan seseorang dalam sesuatu situasi," jelas beliau.

Justeru, ibu bapa disaran bukan sahaja memberikan nama yang baik-baik kepada anak tetapi menerangkan makna dan sifat yang mengiringi nama tersebut, harapan terhadap perilaku dan sikap mereka apabila sampai usia mereka boleh memahaminya.

Namun ujar Khmasiah, adalah agak merugikan kerana kadang-kadang ibu bapa atau anak tersebut tidak menggunakan nama indah yang telah diberikan dan tertulis dalam sijil kelahiran.

Ssebaliknya menggunakan nama timang-timangan atau gelaran yang berlainan yang menghapuskan makna nama berkenaan.

Walau bagaimanapun, tegas beliau, pemberian nama yang yang baik sahaja tidak dapat memberi jaminan bahawa anak tersebut akan menjulang sifat yang dikaitkan dengan namanya.

Ibu bapa juga memikul tanggungjawab yang amat besar untuk mendidik dan mengasuh anak-anak mereka agar perilaku, pemikiran dan tindakan mereka tidak bercanggah dengan norma kehidupan dan masyarakat dan yang lebih utama lagi, tidak bertentangan dengan tuntutan agama yang suci.

Monday, April 5, 2010

Buku Baharu di Pasaran


Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan buku terbaru saya seperti tertera di atas. Semuga ini menjadi satu lagi sumbangan kecil saya dalam menonjolkan ulama-ulamak ulung di Nusantara.