Ramadhan datang lagi. Selamat datang diucapkan kepada tetamu istimewa yang tetap akan berlalu meninggalkan kita. Bulan Ramadhan yang menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda. Syaitan dirantai dan dibuka pintu Syorga dan ditutup pintu Neraka. Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan kebaikan dan keberkatan.
Selayaknya sebagai Muslim kita bersedia menyambut kedatangannya. Seorang musafir biasanya bersedia sebelum memulakan perjalanan, seorang pekerja bersedia untuk menjalani kursus dan latihan yang berkaitan dengan tugasnya, sebagaimana Syaitan juga – sebelum dirantai – telah mengerah bala tenteranya untuk mempedaya setiap Muslim dengan berbagai cara dan pendekatan.
Dengan itu setiap Muslim sewajarnya berlumba-lumba untuk merebut semua peluang yang tersedia di sepanjang Bulan Ramadhan ini. (Untuk yang demikian itu hendaknya orang berlumba-lumba) (Surah al-Mutaffifin: 26).
Diperturunkan cara yang terbaik bagi menyambut dan menjalani ibadat di bulan Ramadhan.
Pertama: Berdoa supaya berpeluang berada di bulan Ramadhan dalam keadaan yang baik dan dapat melakukan ibadat, dari berpuasa, qiam dan zikir. Anas meriwayatkan yang Rasulullah (s.a.w.) bila memasuki bulan Rejab berkata: Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan - HR Ahmad dan al-Tabarani).
Para salaf al-salih berdoa agar mereka dapat berada di bulan Ramadhan dan memohon supaya segala amalan yang dikerjakan akan diterima oleh Allah SWT.
Apabila mereka berjaya menjejakkan kaki di bulan Ramadhan dan anak bulan Ramadhan telah kelihatan, mereka berdoa: Allah Maha Besar! Ya Allah! Muncul dan nampakkanlah kepada kami (anak bulan) dengan aman, iman, selamat, sejahtera dan taufik bagi perkara yang Kamu suka dan redha. Tuhan kami dan Tuhanmu adalah Allah - HR Tirmidhi, al-Darimi dan disahihkan oleh Ibn Hibban).
Kedua: Puji dan syukur akan ketibaan Ramadhan. Imam al-Nawawi ada menyebut dalam al-Adhkar: Sesungguhnya sangat digalakkan bagi sesiapa yang berulang ni`mat yang zahir atau tertolak bencana yang zahir untuk bersujud syukur kepada Allah.
Sesungguhnya adalah suatu ni`mat yang besar bagi seseorang hamba jika mendapat petunjuk untuk melakukan ketaatan dan ibadat. Hanya dengan memasuki bulan Ramadhan dalam keadaan yang baik adalah suatu ni`mat yang besar yang melayakkannya bersyukur kepada Allah SWT.
Ketiga: Bergembira dengan kedatangan Ramadhan. Rasulullah (s.a.w.). Rasulullah (s.a.w.) memberikan berita gembira kepada para sahabat dengan kedatangan Ramadhan. Katanya: Telah datang kepada kamu Bulan Ramadhan, Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan, Allah memfardhukan kamu berpuasa dan dibuka pintu-pintu syorga dan ditutup pintu-pintu neraka... HR Ahmad.
Para salaf al-salih dari kalangan sahabat dan tabiin cukup mengambilberat dengan bulan Ramadhan. Mereka sangat bergembira dengan kedatangannya. Apakah lagi kegembiraan lebih besar dari perkhabaran hampirnya Ramadhan yang merupakan musim keberkatan dan turunnya berbagai rahmat!!
Keempat: Berazam dan melakukan perancangan awal untuk memanfaatkan Ramadhan. Ramai di kalangan Muslim yang membuat perancangan yang kemas untuk urusan dunia tetapi tidak merancang apa-apa untuk akhirat. Ini berpunca dari sikap memandang sepi akan urusan akhirat dan lupa akan kepentingan kehidupan hari ini untuk bekalan bagi kehidupan yang kekal abadi di akhirat.
Kelima: Menanam azam yang kuat bagi merebut semua peluang dan memakmurkan setiap waktu dengan amal saleh.
Keenam: Mempelajari hukum-hukum yang berkaitan dengan Ramadhan. Selayaknya setiap Muslim beribadat kepada Allah berdasarkan ilmu. Dengan itu, mereka hendaklah mengetahui serba serbi mengenai puasa, agar ia dapat mengerjakannya dengan betul. Ia tidak segan untuk bertanya kepada mereka yang berkelayakan. Firman Allah: (Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berillmu, jika kamu tidak mengetahuinya.)(Surah al-Anbiya`, 7).
Ketujuh: Menyambut Ramadhan dengan azam untuk meninggalkan dosa dan kejahatan dan bertaubat dari segala dosa dan kejahatan yang lalu. Bulan Ramadhan adalah bulan taubat, jika tidak bertaubat pada bulan ini. Bila lagi mau bertaubat?
Firman Allah: (Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu mendapat kejayaan.)(Surah al-Nur, 31).
Kelapan: Persiapan jiwa dan rohani dengan membaca buku, risalah dan mendengar ceramah dan menghadiri pengajian dan berdiskusi berkaitan Ramadhan supaya setiap orang bersedia dari aspek kejiwaannnya untuk melaksanakan kewajipan yang bakal tiba.
Kesembilan: Menjalankan tugas dakwah dan mengajak kearah kebaikan. Ia boleh dilakukan dengan peringatan (tazkirah) rengkas untuk jamaah di masjid atau surau, membahagikan risalah mengenai Islam, mengagihkan hadiah Ramadhan (Ramadhan Gift) samada dalam bentuk buku, risalah, vcd dan seumpamanya dan sumbangan untuk fakir miskin dan golongan yang memerlukan. Peruntukkanlah dari pendapatan bulanan untuk projek kebajikan Ramadhan.
Kesepuluh: Menyambut Ramadhan dengan lebaran baru.
* Bersama Allah dengan Taubat yang benar.
* Bersama Rasulullah (s.a.w.) dengan mentaati apa yang diperintah dan menjauhi apa yang dilarang.
* Bersama kedua ibubapa, isteri atau suami dan anak-anak, kaum kerabat dengan kebaktian dan hubungan yang baik.
* Bersama masyarakat dengan aktiviti yang baik dan bermanfaat.
Jadual Harian bagi Muslim yang berpuasa:
Sebelum subuh:
1.Tahajjud. Firman Allah: (Apakah kamu wahai orang musyrik yang lebih beruntung) atau orang yang beribadat di waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? (Surah al-Zumar, 9).
2.Bersahur. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Bersahurlah sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatannya – HR Bukhari dan Muslim.
3.Beristighfar sehingga azan subuh. Firman Allah: (Dan di akhir-akhir malam mereka beristighfar (memohon keampunan kepada Allah). (Surah Al-Dhariyat: 18).
4.Solat sunat Fajar. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Dua rakaat fajar itu lebih baik dari dunia dan seisinya – HR Muslim.
Selepas terbit fajar:
1. Bersegera untuk menunaikan solat subuh berjamaah. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Andainya mereka tahu (kelebihan) solat Isya` dan Subuh, nescaya mereka akan datang walaupun merangkak – HR Bukhari dan Muslim.
2. Berzikir dan berdoa sehinggalah iqamat untuk solat Subuh. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Doa yang tidak ditolak antara azan dan iqamat – HR Ahmad, Tirmidhi dan Abu Dawud.
3. Duduk di masjid untuk zikir dan membaca al-Quran sehingga terbit matahari. Rasulullah (s.a.w.) terus berada ditempat duduknya sehingga terbit matahari – HR Muslim.
4. Solat sunat dua rekaat. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang melakukan solat subuh berjamaah kemudian duduk berzikir (mengingati Allah) sehingga terbit matahari, kemudian ia bersolat dua rekaat baginya pahala laksana menunaikan haji dan umrah selengkapnya – HR Tirmidhi.
5. Berdoa supaya diberkati sepanjang hari. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Ya Allah sesungguhnya aku bermohon darimu kebaikan bagi hari ini, permulaannya, pertolongannya, cahayanya, keberkatannya dan petunjuknya dan aku berlindung dari keburukan yang terdapat padanya dan keburukan sesudahnya – HR Abu Dawud.
6. Keluar untuk belajar atau bekerja. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Tidaklah bagi seseorang itu makanan yang lebih baik baginya kecuali dari hasil kerjanya sendiri kerana Nabi Allah Dawud makan hasil kerja tulang empat keratnya – HR Bukhari.
7. Memperbanyakkan zikir untuk sepanjang hari.
8. Infaq atau sedekah harian dengan menghayati doa malaikat: Wahai Tuhan! Kurniakan kepada mereka yang bersedekah itu gantian dari sedekahnya itu.
Dhohor:
1. Solat Dhohor berjemaah pada waktunya dan bersegera padanya. Ibn Mas’ud berkata: Bahawa Rasulullah (s.a.w.) mengajar kami Sunan al-Huda ( sunnah-sunah petunjuk) dan di antara sunan al-huda itu ialah solat di Masjid yang digumandangkan azan padanya – HR Muslim.
2. Berehat seketika dengan niat yang baik. Rasulullah (s.a.w.) bersabda: Bagi badan kamu juga ada haknya.
’Asar:
1. Solat ’Asar berjamaah dan didahului dengan solat sunat empat rekaat sebelumnya. Sabda Rasulullah (s.a.w.) : Allah merahmati orang yang bersolat empat rekaat sebelum solat fardhu ’Asar – HR Abu Dawud dan Tirmidhi.
2. Mendengar tazkirah di Masjid. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang ke masjid tiada niat lain kecuali untuk mempelajari kebaikan atau mengajar orang lain baginya laksana pahala haji yang sempurna pahalanya – HR al-Tabarani.
3. Duduk di masjid. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang berwudu` di rumahnya dan diperelakkan wudu`nya kemudian ke masjid, ia adalah tetamu Allah menjadi hak tuan rumah memuliakan tamunya – HR al-Tabarani.
Maghrib:
1. Berdoa sebelum masuknya waktu solat Maghrib. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka – antaranya - : Orang yang berpuasa sehingga berbuka.
2. Berbuka dengan juadah berbuka berserta doa.
3. Solat Maghrib berjamaah di rumah atau di masjid.
4. Wirid petang.
5. Bersama keluarga dan melakukan aktiviti yang bermanfaat.
6. Bersedia untuk solat ’Isya` dan solat sunat Terawih.
’Isya`:
1. Solat ’Isya` berjamaah.
2. Solat Terawih sepenuhnya bersama imam. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang melakukan qiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah akan diampunkan dosanya yang lalu – HR Bukhari dan Muslim.
3. Melewatkan solat witir hingga ke akhir malam. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Jadikan witir solat kamu yang terakhir pada waktu malam – Muttafaq ’alayh.
Program terbuka:
- Ziarah kaum kerabat, rakan dan jiran.
- Diskusi (keluarga atau terbuka).
- Hadir program kejiranan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment