Thursday, April 17, 2008

Sunnah Nabi (s.a.w.) sebagai Penyelesaian Masalah Sosial

Pendahuluan:

Masalah yang melanda umat Islam khasnya dan umat manusia umumnya menjadi topik perbincangan yang semacam tiada garis penamat. Ia melibatkan khalayak yang pelbagai dari ulamak dan pendakwah, pemimpin umat dan masyarakat bawahan, tidak terkecuali pakar dalam berbagai bidang yang melibatkan kehidupan umat. Ia dilakukan dalam bentuk diskusi kecil dan tertutup, juga persidangan besar dan terbuka. Sesudah itu secara rasminya dikeluarkanlah senarai resolusi dan cadangan. Apakah masalah itu dapat diselesaikan?


Realitinya soal kepakaran dan mereka yang mempunyai keahlian tidak berbangkit. Dunia memiliki tenaga pakar dalam apapun bidang. Berbagai formula dan pendekatan telah diperkenalkan. Numun kesudahannya hanya kegagalan jua. Bukan semakin reda malah semakin rumit.

Masalah yang melanda manusia tidak dapat diselesaikan berdasarkan formula yang lahir dari akal pemikiran manusia, walaupun Islam telah meletakkan akal ditempatnya yang tersendiri. Malah hukum hakam agama ini hanya ditaklifkan keatas mereka yang berakal sahaja. Namun kemampuan akal dan ilmu milik manusia terbatas jangkauannya. Yang pasti ia samasekali tidak boleh mengatasi wahyu. Tidak ada yang lebih benar dari Kitab Allah dan tiada hidayat yang lebih baik dari hidayat yang dibawa oleh Muhmmad (s.a.w.). Peranan akal hanyalah datang selepas membenar risalah dan nubuwwah.

Justeru terhadap perkhabaran wahyu, seorang mukmin selayaknya memberi respon dengan berkata: Kami beriman dan kami membenarkannya. Manakala bagi wahyu yang berbentuk hukum hakam, mereka akan berkata: Kami dengar dan kami patuh. Akal hanya digunakan untuk memahami nas-nas wahyu dengan kefahaman yang benar dan tidak mengikut sentimen nafsu sendiri kerana ia terlarang. Firman Allah:

(Janganlah kamu menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkan kamu dari jalan Allah)[2]

Tuntutan kembali kepada wahyu:

Hadith Nabawi bersama-sama al-Qur’an adalah sumber utama Islam sekaligus merupakan asasnya. Hukum hakam dan serba serbi adalah bersumber dari keduanya. Keduanya tidak terpisah dan dan seiring.

Al-Qur’an dan hadith merupakan wahyu Allah kepada nabiNya (s.a.w.), perbedaannya hanyalah yang al-Qur’an adalah wahyu yang diriwayatkan dengan lafaz sedangkan hadith adalah wahyu yang diriwayatkan dengan makna.[3] Ada ulama yang menggunakan istilah wahy matluw sedangkan hadith adalah wahy maqru’.[4]

Firman Allah: [5]
وَأَنزَلَ اللّهُ عَلَيْكَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ
(Dan Allah telah menurunkan kepadamu al-Kitab dan al-Hikmah).

Para ulama berpendapat yang al-hikmah yang disebut pada ayat di atas bukanlah al-Qur’an tetapi yang suatu yang lain yang diturunkan untuk menjelaskan rahsia dan hukum-hakam syariatNya.[6] Imam al-Shafi`i setelah memperturunkan ayat-ayat yang menyebut perkataan al-Kitab wa al-Hikmah telah menyimpulkan yang al-Hikmah adalah hadith. Ia bukanlah pendapat yang baru kerana Qatadah, Hassan al-Basriy dan Yahya bin Abi Kathir sebelum beliau juga berpendapat sedemikian. Pendapat yang sama dipetik dari Ibn Jarir al-Tabari, Muhammad Fakr al-Din al-Razi, Ibn Kathir, al-Shawkani, al-Khazin dan al-Nasafi dalam karya tafsir mereka masing-masing.

Ini tidak termasuk lagi hadith yang menjelaskan yang hadis adalah wahyu, antaranya:

“Ketahuilah yang aku dikurniakan al-Kitab dan seumpamanya bersamanya..”[7]

Dengan itu kedudukan hadith sebagai penjelas terhadap al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai pelaksanaan amali dari Rasulullah (s.a.w.) terhadap apa yang terdapat dalam al-Qur’an adalah fakta yang berasaskan al-Qur’an, hadis-hadis nabi sendiri, ijmak ummah dan akal yang waras.

Berpengang dengan sunnah dan merujuk kepadanya merupakan perkara yang sudah ijmak sepanjang zaman, walaupun ada suara-suara sumbang dan pendapat yang songsang terhadap sunnah, namun ianya keluar dari kalangan yang sudah diketahui umum akan kefahaman Islam mereka.

Disamping nas-nas al-Qur`an yang menganjurkan setiap Muslim berpegang dengan Sunnah Rasulullah (s.a.w.), terdapat sejumlah hadith dari Rasulullah (s.a.w.)

Kalangan salaf al-Salih khususnya para sahabat yang menerima Islam ini dari Rasulullah (s.a.w.) benar-benar memahami perkara ini. Ini jelas dari kenyataan yang keluar dari mereka dan juga amalan mereka.

Al-Suyuti menyebut dalam al-Durr al-Manthur yang Khalid bin Usayd pernah menyebut di hadapan Ibn `Umar: Kami mendapati mengenai solat semasa kami dalam keadaan bermukim dan juga solat semasa dalam ketakutan, kami tidak mendapati solat musafir dalam al-Qur`an? Ibn `Umar menjelaskan: Wahai anak saudaraku! Sesungguhnya Allah telah mengutuskan kepada kami Muhammad (s.a.w.) dalam keadaan kami tidak mengetahui sesuatupun, sesungguhnya kami berbuat apa yang Rasulullah membuatnya, qasar solat semasa musafir adalah amalan yang disunnahkan oleh Rasulullah (s.a.w.).[8]

Sahabat-sahabat besar, Abu Bakr dan Umar semasa mereka menjadi khalifah apabila ada aduan dan kemusykilan, kedua-duanya akan merujuk kepada hadith apabila tidak terdapat jawapan dalam al-Qur`an.

Al-Darimi meriwayatkan dari Maymun bin Mahran, katanya: “Abu Bakr apabila ada pertikaian beliau akan melihat kepada Kitab Allah, apabila terdapat sesuatu yang boleh diputuskan dengan al-Qur`an beliau akan diputuskan dengannya di kalangan mereka, jika tidak terdapat dalam Kitab Allah, dilihat apakan ada dari Rasulullah sesuatu mengenainya,jika diketahui ada akan diputuskan dengannya, jika tidak diketahui beliau akan keluar kepada orang ramai dengan katanya: Datang kepada saya sekian…sekian, telah saya lihat dalam Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah (s.a.w.), saya tidak mendapati sesuatu, adakah kamu mengetahui yang Rasulullah (s.a.w.) telah memutuskan apa-apa keputusan mengenainya? Mungkin ada yang berdiri dan berkata: Ya! Lalu diputuskan dengan apa yang diputuskan oleh Rasulullah (s.a.w.), seraya berkata: Segala puji bagi Allah yng telah menjadikan ada dikalangan kami seseorang yang menghafaz dari Nabi kami.[9]

Jika tidak didapati, akan dijemput pemuka kaum dan ulama` mereka, lalu diminta pandangan mereka, apabila mereka sepakat atas apa-apa perkara akan diputuskan dengan demikian.

‘Umar juga berbuat demikian, jika tidak terdapat dalam al-Kitab dan al-Sunnah, diteliti apakah ada keputusan mengenai telah dibuat oleh Abu Bakr, jika tidak beliau akan mengumpulkan pimpinan kaum dan ulama mereka dan diminta pandangan, bila tercapai kata sepakat akan diputuskan dengannya.

Beliau juga pernah menulis kepada Surayh semasa dilantik menjadi Qadi di Kufah, antara lain dinyatakan:

“Telitilah apa yang jelas bagi kamu dari Kitab Allah, dan janganlah bertanya kepada seorangpun, jika tidak nyata bagimu, ikutlah dalam perkara tersebut Sunnah Rasulullah (s.a.w.), jika tiada berijtihadlah dan berbincanglah dengan ahli ilmu dan orang yang baik-baik”.[10]

Malah beliau pernah berkata: Akan datang kepada kamu mereka yang berdebat denganmu mengenai perkara syubhat yang ada dalam al-Qur`an lalu ambilkan mereka dengan sunnah kerana pendokong sunnah sahaja yang lebih mengetahui mengenai Kitab Allah.[11]

Demikianlah terus menerus para sahabat dan tabi`in merujuk kepada sunnah di zaman mereka dalam segala urusan, samada ibadat, penentuan halal haram, muamalat dan selainnya. Para imam-imam besar mempunyai pandangan yang cukup jelas mengenai sunnah Rasulullah (s.a.w.), malah menganjurkan supaya pendapat dan pendangan mereka hendaklah dipadankan dengan hadith Rasulullah (s.a.w.) selepas al-Qur`an.

Imam Abu Hanifah pernah berkata:
“Apabila pandanganku menyalahi Kitab Allah dan Hadith Rasul (s.a.w.) maka tinggalkan pandanganku itu”.[12]

Imam Malik bin Anas pula berkata:

“Setiap orang boleh diterima pandangan mereka dan ditolak kecuali Rasulullah (s.a.w.).”[13]

Imam al-Syafi’iy berkata: Apabila sah sesuatu hadith maka campaklah pandanganku ke dinding”.[14]

Imam Ahmad bin Hanbal pula berkata: “Jangan kamu bertaklid kepadaku, dan jangan kepada Malik, juga jangan kepada Awza’iy akan tetapi ambillah dari tempat mereka mengambilnya”.[15]


GESAAN SUPAYA SENTIASA BERPEGANG DENGAN HADITH:

Sebagai Muslim, kita sentiasa dianjurkan supaya sentiasa menjadikan Sunnah Rasulullah sebagai pegangan. Oleh kerana Rasulullah (s.a.w.) itu adalah uswah bagi setiap warga Islam, maka sekaligus sunnah atau hadithnya hendaklah dijadikan pegangan. Ia merupakan panduan bagi umat Islam bersama al-Qur’an. Umat Islam tidak dibiarkan mencari sendiri landasan hidupnya. Betapa hebatpun manusia ia tetap memerlukan bimbingan wahyu, justeru ilmu yang dikurniakan untuk manusia pada hakikatnya sangat sedikit dan terbatas di sekitar alam benda ini sahaja. Ia tidak dapat menjangkau alam metafizik dan rohani.

Rasulullah (s.a.w.) meninggalkan umatnya setelah syariat yang dijadikan pegangan dan panduan ini lengkap sempurna.

Sabda Rasulullah (s.a.w.):

“Aku tinggalkan kamu dalam suasana yang jelas nyata, malam dan siangnya sama sahaja”.[16]

Abu Zar (r.a.) berkata: Kami telah ditinggalkan oleh Rasulullah (s.a.w) dan tidak bergerak burung akan sayapnya kecuali telah disebut kepada kami darinya ilmu.

Dalam hadith lain, Rasululah (s.a.w.) bersabda:

“Tidak tertinggal satupun dari perkara yang mendekatkan ke syorga dan menjauhkan dari neraka kecuali telah diterangkan untuk kamu semua”.[17]

Kalau Nabi-nabi terdahulu berkewajipan menunjukkan kepada umatnya kebaikan dan memberikan amaran terhadap perkara buruk, seperti yang dijelaskan oleh baginda sendiri dalam satu hadith riwayat Muslim,[18] masakan baginda sendiri tidak berbuat seperti yang telah dilaksanakan oleh nabi-nabi tersebut.

Rasulullah (s.a.w.) menjelaskan yang sebaik-baik hidayah dan petunjuk adalah petunjuk Muhammad, sejahat-jahat perkara adalah perkara yang direka-reka dan setiap bid’ah itu adalah sesat.[19]

Dalam satu hadith yang lain baginda telah memerintahkan melalui sabdanya:

“Saya berpesan kepada kamu dengan taqwa kepada Allah,dengar dan patuh walaupun ia seorang hamba Habsyi, maka sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas ini akan melihat selepasku perselisihan yang banyak, dengan itu hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin,gigitlah dengan gigi geraham kamu…[20]

Bertitik tolak dari realiti inilah para sahabat, tabi’in juga para ulama’ menganjur dan mengingatkan generasi selepas mereka supaya sentisa berpegang teguh dengan sunnah yang ditinggalkan oleh baginda (s.a.w.). Diperturunkan di sini beberapa contoh:

Imam al-Zuhri berkata: Ulama kita yang terdahulu pernah berkata: Berpegang dengan sunnah adalah penyelamat.[21]

Al-Awza’ii berkata: Dikatakan ada lima perkara yang berpegang dengannya para sahabat Muhammad dan mereka yang mengikutnya dengan baik: Melazimkan diri dalam jamaah, mengikut sunnah, mengimarahkan masjid, tilawah al-Qur’an,berjihad pada jalan Allah.[22]

Abdullah bin al-Daylami berkata: Telah sampai kepadaku yang perkara pertama yang akan hilang dari agama ini ialah meninggalkan sunnah, hilang dari agama ini sunnah satu demi satu, sebagaimana hilang dari tali itu kekuatan seutas demi seutas.[23]

Abu Muhammad Sahl bin Abdullah al-Tustari berkata: Prinsip kita ada enam:Berpegang dengan kitab Allah, mengikut sunnah Nabi (s.a.w.), Makan yang halal, Menahan diri dari menyusahkan orang lain, menjauhi dosa, taubat dan melaksanakan segala hak.[24]

Beliau juga ada berkata: Prinsip mazhab kami ada tiga: Mengikut Nabi (s.a.w.) dalam akhlak dan perbuatan, Makan yang halal, Ikhlas niat dalam semua amalan.[25]

Jelaslah para fuqaha menjadikan sunnah sebagai sandaran dalam hukum hakam. Tidak terkecuali kalangan mereka yang melibatkan dalam kehidupan kerohanian di zaman, begitu komited dalam mengikut sunnah Rasulullah (s.a.w.). Syaikh al-Sufi, Al-Junayd ada berkata: Kesemua jalan tertutup bagi setiap makhluk kecuali sesiapa yang mengikut jejak Rasul, mengikut sunnahnya, melazimi jalannya, kesemua jalan kebajikan dibuka untuknya.[26]

Beliau juga berkata:Siapa yang tidak menghafaz al-Qur`an dan tidak menulis hadith, tidak dijadikan ikutan dengannya dalam urusan ini kerana ilmu kami ini diikat dengan Kitab dan Sunnah.

Zu al-Nun al-Masri pula berkata: Antara tanda kecintaan kepada Allah adalah dengan mengikut Kekasih Allah (s.a.w.) dalam akhlak, perbuatan, perintah dan sunnahnya". Ahmad bin Abi al-Hawari pula berkata: Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan tanpa mengikut sunnah maka batallah amalannya.[27]


Justeru penilaian terhadap hadith diukur berdasarkan sanadnya. Imam Muhammad bin Sirin berkata: Isnad adalah al-Din, Kalaulah tidak dengan sanad, nescaya orang akan berkata apa yang hendak dikata.

Abu Hasan al-Shazli berkata: Tiada jaminan bagi kami bersih dalam kasyaf tetapi dijamin untuk kami bersih dalam Kitab dan Sunnah.

Berpengang dengan sunnah dan merujuk kepadanya merupakan perkara yang sudah ijmak sepanjang, walaupun ada suara-suara sumbang dan pendapat yang songsang terhadap sunnah, namun ianya keluar dari kalangan yang sudah diketahui umum akan kefahaman Islam mereka.

Kenapa mesti berpegang dengan Sunnah Rasulullah s.a.w.?

Dengan berpegang kepada sunnah, menunggu kebaikan dan kebajikan yang kembali kepada individu itu sendiri, masyarakat, agama dan tidak ketinggalan dunia.

Ibn Qudamah berkata: Dalam mengikut sunnah itu keberkatan kerana seiring dengan syarak, redha Allah, ketinggian kedudukan, keselesaan fizik, ancaman untuk syaitan dan mengikut jalan yang lurus.[28]

Ibn Hibban menyebut: Dalam komitmen dengan sunnah itu: keselamatan, kehormatan, lampunya tidak terpadam,hujjahnya mantap. Menjaganya terpelihara, meninggalnya adalah penyesalan…[29]

Syeikh Abd Ghani Abd al-Khaliq dalam Hujjiah al-Sunnah telah memetik apa yang disebut oleh al-Ghazali: Kunci kebahagian adalah dalam mengikut sunnah dan mengikut Rasulullah (s.a.w.) dalam setiap sumbernya, diam dan geraknya hinggakan makan minum,gerak geri, tidur dan percakapan, bukan dalam perkara ibadat sahaja malah kebiasaan juga.[30]

Malah diterima atau ditolaknya sesuatu amalan yang dikerjakan terhenti sejauhmana ia menepati sunnah Rasulullah (s.a.w.). Al-Hasan berkata: Tidak baik perkataan kecuali dengan amal, tidak baik kata-kata dan amal kecuali dengan nita dan tidak baik perkataan, amalan dan niat kecuali dengan sunnah. Said bin Jubayr pula berta: Tidak diterima perkataan kecuali dengan amalan, tidak diterima perkataan dan amalan kecuali dengan niat dan tidak diterima perkataan, amalan dan niat kecuali menepati sunnah.[31]

Rengkasnya dengan mengikut sunnah, menunggu di sana faedah yang banyak, antaranya:
Dapat mencapai kecintaan dari Allah.
Dapat menampung kekurangan dalam amalan fardhu.
Ganjaran yang berlipat ganda.
Terpelihara dari terjebak dengan bid`ah.
Menegakkan syiar Allah.
Dapat mengelakkan perpecahan.

Sunnah adalah penyelamat:

Umat Islam telah ditinggalkan oleh Rasulullah (s.a.w.) lebih dari 1,400 tahun. Rata-rata mereka berhadapan dengan kemelut untuk meneruskan survival mereka setelah diserang dan ketinggalan dalam setiap aspek kehidupan. Namun umat Islam tidak boleh berputus asa dan berpeluk tubuh kerana mereka mempunyai potensi untuk bangkit dan kembali disegani. Masakan tidak, umat Islam dikurniakan dengan insentif yang cukup banyak untuk memulihkan semula kedudukan mereka.

Apa yang sudah berlalu mestilah diteladani untuk merangka masa depan yang gemilang. Pengalaman lampau adalah antara aset yang sangat berguna.Imam Malik r.h berkata: Tidak akan jadi baik umat yang akhir kecuali dengan apa yang sudah baik generasi awalnya.

Salaf al-salih disamping mantap kekuatan fizikalnya, mereka juga unggul dalam kekuatan rohani dan mempunyai komitmen yang tinggi dan tidak berbelah bahagi dengan wahyu iaitu al-Qur`an dan al-Sunnah. Hasilnya mereka dapat menguasai satu pertiga dunia. Kalau mereka boleh melakukannya, masakan generasi terakhir tidak boleh melakukannya.

Penekanan sunnah terhadap aspek akhlak:

Gejala sosial yang melanda masyarakat kita adalah manifestasi dari kelunturan akhlak mereka. Sekaligus mengambarkan tahap penghayatan mereka terhadap amalan-amalan utama dalam Islam kerana amalan-amalan tersebut mempunyai kaitan yang rapat dengan prinsip-prinsip akhlak Islam.

Solat boleh menghalang dari kerja-kerja jahat dan keji. Zakat pula ada laitan yang rapat dengan pembersihan rohani, puasa adalah simbolik dari usaha menahan diri dari dorongan nafsu. Pelaksanaan ibadat haji merupakan aplikasi kepada ajaran-ajaran akhlak Islam.

Kelemahan akhlak adalah bukti akan kelemahan keimanan. Allah SWT semesa memerintahkan kepada kebaikan dan melarang dari keburukan menjadikannya sebagai tuntutan iman. Cukup banyak terdapat dalam al-Qur`an ayat-ayat yang dimulakan dengan “Wahai orang yang beriman…” lalu disusuli dengan perintah yang dikehendakinya. Rasulullah (s.a.w.) menjelaskankan yang iman yang kuat sahaja yang boleh melahirkan iman yang kuat. Baginda (s.a.w) menjelaskan malu dijadikan kembar bagi iman, tidak beriman orang yang menyusahkan jirannya, orang yang beriman hendaklah berkata yang baik atau diam.

Apalah maknanya orang yang pada zahirnya kelihatan melaksanakan ibadat yang diperintah agama sedangkan masih melakukan perkara yang bertentangan dengan nilai akhlak Islam. Diceritakan kepada Nabi (s.a.w.) perihal seorang yang banyak solat, puasa dan sedekahnyanya sedang ia menyakiti jirannya dengan lidahnya, baginda berkata: dia dalam neraka! Seorang lagi berkeadaan sebaliknya dan sedekahnyapun dari barang yang tidak mahal harganya sedang dia tidak menyakiti jirannya. Nabi bersabda: Dia dalam syorga. (Riwayat Ahmad).

Dengan itu akhlak mempunyai kaitan yang sangat erat dengan iman atau akidah, malah akidah merupakan paksi utama akhlak dalam Islam. Aqidah yang asas utamanya adalah beriman akan kewujudan Allah Yang Maha Pencipta, peri kewujudannya dimaklumkan kepada manusia melalui risalahNya yang dibawa oleh para rasul, melalui merekalah manusia mengetahui baik dan buruk, benar dan palsu. Beriman wujudnya Hari Pembalasan adalah ajaran akidah yang penting. Setiap yang dikerjakan di dunia ini tidak akan berlalu begitu sahaja kecuali akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Imanlah yang menjana segala tindakan yang baik.

Kaitan iman dengan akhlak cukup jelas apabila Rasulullah (s.a.w.) bersabda: Tiga perkara yang ada pada diri seseorang, maka ia adalah munafik, walaupun ia puasa, solat, haji dan umrah, malah ia mengaku yang ia adalah seorang muslim: Apabila berkata dia dusta, apabila berjanji dia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianat. (Riwayat Muslim).

Ulama Islam terkenal. Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya Khuluq al-Muslim memuatkan tajuk “Kearah Alam yang lebih baik” dimana ditegaskan yang Islam datang membawa manusia kearah kehidupan yang mulia melalui sifat terpuji dan adab. Ini menjadi inti dari ajaran Islam itu. Sebarang penyelewengan darinya dihitung sebagai cuba keluar darinya dan menjauhkan diri darinya.[32]


Kecemerlangan akhlak mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan jiwa yang jernih. Akhlak samada baik atau buruk adalah manifestasi dari apa yang ada dalam jiwanya. Justeru, Islam amat menekankan betapa perlunya pendidikan kerohanian dan penjernihan jiwa.


Rengkasnya, akhlak adalah antara cabang utama yang terkandung dalam syariat yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w.), malah salah satu daripada tujuan perutusannya ialah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Sabdanya:

“Sesungguhnya saya diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”[33]

Rasulullah (s.a.w.) menghargai ketinggian akhlak dan memberi amaran terhadap keburukannya. Sabda baginda:

“Sesungguhnya Allah menyukai ketinggian akhlak dan membenci kerendahannya”. (Riwayat al-Hakim).[34]

Justeru kemuliaan akhlak akan membawa kepada kebaikan dalam kehidupan beragama, kehidupan di dunia dan kebaikan pula di akhirat.
Akhlak pada keseluruhannya adalah pelaksanaan bagi sifat yang positif maupun sebaliknya.Justeru Rasulullah (s.a.w.) bukan hanya membawa teori akhlak atau gagasannya sahaja. Baginda tidak hanya menjelaskan bentuk akhlak yang baik yang menjadi tujuan perutusannya itu, malah Baginda (s.a.w.) sendiri melaksanakannya sesempurnanya kerana untuk melahirkan akhlak yang baik tidak memadai seorang pendidik hanya memberi arahan berkata: “Lakukan ini” atau “jangan lakukan ini”. Ia memerlukan kepada contoh tauladan. Justeru Rasulullah (s.a.w.) telah menjadi tauladan yang terbaik. Peri akhlaknya telah ditegaskan sendiri oleh Allah dalam firmanNya:

(Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agong).[35]

Dengan itu baginda adalah qudwah dan uswah. Firman Allah:

(Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Akhirat dan dia banyak menyebut Allah).[36]

Malah Umm al-Mukminin Aishah apabila ditanya mengenai akhlak baginda, jawabnya:

“Akhlaknya adalah al-Qur`an”.[37]

Inilah istimewanya umat Islam bila Allah (s.w.t.) telah menjadikan untuk mereka role model yang unggul di segi akhlaknya. Ini bermakna tidak ada perkara yang berkaitan dengan akhlak (juga perkara-perkara) samada yang baik maupun sebaliknya yang terabai dan ditinggalkan begitu sahaja tanpa penjelasannya. Kesemuanya mendapat sentuhan Nabawi. Perkara yang baik dinyatakan dalam bentuk contoh dan penghayatan, manakala yang tercela pula dinyatakan untuk dihindari dan dijauhi oleh umatnya.

Peri keprihatinan Rasulullah (s.a.w.) terhadap aspek akhlak ini cukup jelas dengan terdapat dengan banyaknya hadith yang berkaitan dengan adab yang dimuatkan dalam karya-karya utama hadith. Imam Bukhari sahaja dalam Kitab al-Adab telah memuatkan 256 hadith, tidak termasuk lagi dalam topik (kitab) yang berkaitan dengan adab. Beliau juga telah meyusun karya khusus berkiatan adab dan dinamakan dengan al-Adab al-Mufrad. Karya ini telah memuatkan 1322 hadith. Ini belum termasuk hadith-hadith yang dimuatkan dalam karya lain dengan mengambilkira pengulangan.

Diperturunkan contoh-contoh hadith Nabi (s.a.w.) yang menjelaskan kedudukan akhlak dan keistimewaan mereka yang memiliki akhlak yang terpuji.

Seorang lelaki bertanya Nabi (s.a.w.): Siapakan hamba yang paling dikasihi disisi Allah? Jawabnya: Yang paling baik akhlaknya. (Riwayat al-Tabarani dari Usamah bin Syurayk).

Dalam riwayat lain: Apakah sebaik-baik perkara yang dikurniakan kepada seseorang insan? Jawabnya: Akhlak yang baik. (Riwayat Ibn Hibban).

Sabda baginda: Perkara buruk dan keji itu samasekali bukan dari ajaran Islam, sebaik-baik orang disegi keislamannya ialah yang paling baik akhlaknya. (Riwayat Tirmidhi).

Nabi (s.a.w.) pernah ditanya: Siapakah mu`min yang paling sempurna imannya? Jawabnya: Yang paling baik akhlaknya. (Riwayat al-Tabrani).

Rasulullah (s.a.w.) pernah bertanya: Sukakah kamu saya memberitahu kamu orang yang paling saya kasih dan yang hampir denganku pada Hari Kiamat? – diulangnya dua atau tiga kali – Para sahabat menjawab: Ya! Wahai Rasulullah. Sabdanya: Yang paling baik akhlaknya. (Riwayat Ahmad).

Dalam satu hadith riwayat Abu Daud. Aisyah r.a. berkara: Saya mendengar Rasulullah bersabda: Seorang mukmin boleh mencapai dengan akhlaknya yang baik tahap orang yang berpuasa dan berqiam”.

Tuntutan mengikut Sunnah Rasulullah (s.a.w.) tidak terhenti kepada perkara-perkara yang dikaitkan dengan ibadat sahaja, malah ia merangkumi kesemua aspek. Akhlak yang dibincang ini tidak terkecuali. Hanya dengan mengikut sunnah baginda (s.a.w.) segala kemelut yang melanda umat ini termasuk krisis moral akan dapat berkesan dan menyeluruh.


Penutup:

Tiada pilihan bagi umat Islam kecuali kembali ke pangkal jalan setelah sesat di hujung jalan. Setelah sistem dan teori yang diimpot gagal memberi penyelesaian kepada masalah umat. Kenapa teragak-agak lagi untuk kembali kepada penyelesaian wahyu? Kembalilah kepada Islam. Berilah peluang kepadanya untuk membuktikan keupayaan dan keampuhannya dalam menyelesai masalah yang membelenggu umat.

Wallahu A`lam.








[1] Kertas yang dibentangkan di Seminar Hadith Anjuran Masjid al-Safaah, Singapura pada 4 Februari 2007.
[2] Surah Sad, 38:26.
[3]Abd Rahman bin Abu Bakr al-Suyuti, al-Itqan fi Ulum al-Qur`an, (Misr:Mustafa al-Halabi, 1370H, 1/153.
[4] `Ali bin Ahmad Ibn Hazm, al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, Kahirah, al-Khanji, 1345H, 1/97.
[5] Surah al-Nisa`, 4:113.
[6] Mustafa al-Siba`iy, Al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tasyri` al-Islamy, Beirut: Al-Maktab al-Islami, hal.55.
[7] Hadith riwayat Ahmad dalam al-Musnad, 4/130,131; Ibn Hibban dalam Sahihnya (al-Ihsan), 1/173).

[8] Hadith dirawayatkan oleh Al-Nasaii dalam al-Sunan, hadith no.1435, Ibn Majah dalam al-Sunan, hadith no. 1066
[9] Imam Abu Muhammad Abd Allah bin Abd al-Rahman ibn Bahram al-Darimi, Sunan al-Darimi, Damsyik:Dar al-Qalam, 1991, 1/62.
[10] Jalal al-Din al-Suyuti, Miftah al-Jannah fi al-Ihtijaj bi al-Sunnah, Kahirah: Maktabah al-Thaqafah al-Diniyyah, hal.50. Katanya: Diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dan al-Darimi
[11] Al-Darimi, op.cit., 1/53.
[12] Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah, I’lam al-Muwaqi`in min Rabb al-‘Alamin,Beirut: al-Maktabah al-`Asriyyah, 2/262.
[13] Ahmad Qutub al-Din Wali Allah al-Dihlawi, Hujjat Allah al-Balighah, Qahirah, Dar al-Kutub al-Hadithah, hal. 157.
[14] Ibn al-Qayyim, op.cit, 263.
[15] Dipetik dari Wahbah al-Zuhayli (1986), Usul al-Fiqh al-Islami, Beirut: Dar al-Fikr, hal.1130.
[16] Riwayat Ibn Majah dalam al-Sunan, 1/4, sebahagian dari hadith yang panjang.
[17] Ahmad, al-Musnad, 5/135. Hadith ini diriwayat juga oleh al-Tabarani, menurut al-Haithami dalam al-Majma` 8/264: rijalnya adalah rijal yang sahih.
[18] Lihat Hadith Abdullah bin Amr ibn al-`As dalam Sahih Muslim, 3/1473.
[19] Maksud hadith riwayat Muslim dalam kitab al-Jum’ah, 2/592.
[20] Riwayat ashab al-sunan kecuali al-Nasaii. Disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Dhahabi (Mustadrak, 1/96).
[21] Sunan al-Darimi, 1/44.
[22] Abu Nu’aiym al-Asbihani, Hilyat al-Awliya’, 6/142.
[23] Sunan al-Darimi, 1/44
[24] Abu Nuaym, op.cit, 10/190; Lihat juga: Miftah al-Jannah, hal.70
[25] Qadi ‘Iyadh, al-Syifa`, 2/558.
[26] Abu Nuaym, op.cit., 10/257.
[27] Al-Suyuti, op.cit., hal.70.
[28] Ibn Qudamah al-Maqdisi, Zam al-Musawisin, Mesir: Al-Faruq al-Hadithiah, t.t., hal.41.
[29] Lihat Muqaddimah Sahih Ibn Hibban, 1/102.
[30] Abd Ghani Abd Khaliq, Hujjiah al-Sunnah, hal.80-81.

[31] Al-Suyuti, op.cit., hal. 64-65.
[32] Muhammad al-Ghazali, Khuluq al-Muslim, (1920), Kuwait: Dar al-Bayan, hal.13.
[33] Bukhari dalam Adab al-Mufrad, (273), al-Hakim (2/613) katanya: Sahih mengikut syarat Muslim, Ahmad, menurut al-Haythami: rawinya adalah rawi yang sahih, 8/18.
[34] Lihat: Sahih al-Jami` al-Saghir, hadith no. 1889.
[35] Surah al-Qalam, 68:4.
[36] Surah al-Ahzab, 33:22.
[37] Muslim, Ahmad, Abu Daud. Sahih al-Jami` al-Saghir, (4811).

No comments: