Thursday, April 17, 2008

Amanah dan Personaliti

Pengantar:

Islam sebagai al-din merangkumkan berbagai peraturan dan ajaran, aqidah dan ibadat, kekeluargaan, keperibadian individu dan jamaah yang semuanya bertujuan untuk mendidik kerohanian manusia dengan pendidikan yang sempurna. Tunggaknya adalah akhlak yang mulia yang menjadikan insan sebagai contoh yang praktikal bagi hamba yang salih dan lurus di atas perintah Tuhannya.

Akhlak adalah salah satu dari aspek penting yang diberi penekanan oleh Islam. Aspek akhlak ini turut ditekankan oleh anutan lain. Dalam ia terbukti dari penegasan Rasulullah (s.a.w.) sendiri dalam sabdanya:


“Sesunggunya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”[1]

Amanah adalah salah satu cabang akhlak yang utama. Kertas ini akan memberikan gambaran rengkas mengenai sifat yang terpuji ini khususnya dalam kontek pelaksanaannya dalam kehidupan seorang Muslim

Definisi Amanah:


Perkataan amanah itu berasal dari bahasa Arab. Dalam bahasa kita ia boleh dikata sebagai kepercayaan, pertaruhan, kesetiaan, lurus, dan sebagainya. Dalam kata lain ia adalah sesuatu yang diserahkan kepada seseorang untuk disimpan, dijaga dan dipelihara, samada berupa harta, rahsia atau selainnya.

Sebagai contoh seseorang yang akan berpergian atau bermusafir biasanya akan menyerahkan hartanya kepada seorang lain untuk dijaga semasa beliau bermusafir.

Dalam Islam amanah diertikan sebagai sesuatu yang diserahkan untuk dipelihara dan dijaga, ia merangumi harta benda, kehormatan diri, hak-hak manusia dan agama.

Orang yang menjaga amanah dan melaksana apa yang sepatutnya berupa penjagaan dan pemeliharaan dinamakan al-amin. Lawannya ialah pengkhianat apabila ia menguruskannya diluar dari batas-batas syara` seperti menjual, mengurang, engkar atau abai dalam penjagaannya.

Amanah merupakan bebanan yang berat yang dipikul oleh manusia setelah ia ditolak oleh yang lain.

Firman Allah:


(Sesungguhnya Kami telah mengemukan amanah kpada langit, bumi dan gunung ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanah tersebut dan mereka bimbang mereka akan mengkhianatinya dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh).[2]

Skop amanah dalam Islam sangat luas, namun tuntutannya adalah melaksanakan amanah itu dengan penuh tanggungjawab dan kejujuran. Ini merupakan arahan Allah SWT dalam firmannya:

(Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya).[3]

Beberapa aspek amanah:

Secara umumnya amanah terbahagi kepada dua bahagian:

1. Amanah yang dari Tuhan kepada manusia.

Antara yang termasuk dalam bahagian ini ialah:

a. Amanah fitrah untuk terus tegak di atas tauhid kepada Allah. Ini merupakah perjanjian yang agung.

b. Amanah beriman kepada Rasulullah (s.a.w.) dan dengan agama yang dibawanya. Ia adalah amanah tanggungjawab syariah untuk menegakkakan kehidupan bagi umat Islam di atas syariat Allah dalam semua urusan kehidupan: aqidah, ibadat, perundangan, hukum hakam dan akhlak.

c. Amanah pancaindera:

Seluruh anggota kita dan khususnya indera adalah kurniaan Allah, sekaligus ia merupakan amanah. Dengan itu ia sepatutnya disalurkan dalam perkara ma`ruf sahaja bukannya untuk melakukan penderhakaan kepada Allah.

d. Ilmu.

Satu lagi kurniaan Allah yang sekaligus adalah amanah yang mesti disebarkan kepada orang lain.

2. Amanah antara sesama manusia.

Selepas hubungan dengan Tuhan Pencipta, kita tidak terlepas dari saling berurusan dengan sesama ini yang tidak terkeluar dari lingkungan amanah. Antaranya:

a. Amanah yang berkaitan dengan hak.

b. Amanah yang berkiatan dengan harta termasuk simpanan.
c. Kehidupan individu dan keluarga.

d. Kedudukan dan tanggungjawab.


Bagaimana mencapai amanah?

Oleh kerana ruang dan skop amanah ini begitu besar dan merangkumkan semua hak yang wajib dijaga dan diberi perkiraan, bukan senang hendak mencapainya dalam kehidupan. Antara fenomena yang paling ketara yang berkaitan dengan penjagaan amanah ini ialah:

a. Berpegang dengan agama dan bersunggu-sungguh dalam pelaksanaannya. Firman Allah:

(Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.)[4]

b. Menjaga anggota dari terjerumus dalam perkara yang haram dan menggunakannya dalam ketaatan kepada Allah.

Firman Allah: Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan diminta dipertanggungjawabkan.)[5]

c. Ikhlas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dan melaksanakannya dengan penuh didikasi serta mengutamakan kebajikan awam.

d. Benar dalam segala urusan dan menjauhkan sebarang bentuk penyelewengan dan penipuan.

e. Menyerahkan tugas dan jawatan kepada mereka yang benar-benar berkelayakan serta mampu melaksanakan segala tanggungjawab dengan baik dan bersedia menghadapi cabaran yang mendatang.


Sabda Rasulullah (s.a.w.):

“Sesiapa yang menyerah tugas kepada seseorang kerana sentimen dan persaudaraan sedangkan ada lagi yang baik di sisi Allah darinya, sesungguhnya ia telah mengkhianati Allah, Rasul dan mereka yang beriman”.[6]

Bertolak dari realiti inilah Rasulullah (s.a.w.) telah menolak permintaan Abu Zar al-Ghifari, dengan sabdanya:


“Wahai Abu Zar! Engkau sebenarnya lemah, jawatan itu adalah amanah, sesunggunya ia membawa kepada kehinaan dan penyesalan pada Hari Kiamat, kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak kewajaran serta menunaikan hak atasnya”.[7]

f. Mengambil contoh dan tauladan dari Rasulullah (s.a.w.) dan salaf al-Salih.

Kehidupan generasi awal penuh dengan contoh dan tauladan untuk generasi mutakhir. Dengan itu pelajarilah sirah insan contoh iaitu Rasulullah (s.a.w.) dan generasi berikut dari kurun-kurun gemilang dalam sejarah umat Islam untuk dijadikan cermin dan tauladan. Tidak akan jadi baik generasi mutakhir kecuali dengan apa yang sudah baik generasi awal.

Selagi umat Islam memelihara amanah Allah keatas mereka akan luruslah urusan mereka. Kehidupan sosial ummah tidak terkeluar dari lengkongan amanah ini.

Pekerja adalah pemegang amanah kepada kerja yang diserahkan kepadanya.

Tunggak bagi pekerja yang baik/soleh ialah:

a. Kemampuan melaksanakan kerjanya.
b. Amanah dalam melaksanakannya.

Mungkin ia seorang yang cemerlang dalam melaksanakan kerja tetapi cuai dalam menunaikan tanggungjawab tersebut, dengan itu ia dikira khianat terhadap kerjanya.

Firman Allah:


(Salah seorang dari dua wanita itu berkata: “Wahai bapaku! Ambillah ia sebagai orang yang berkerja (dengan kita), kerana sesungguhnya oarng yang paling baik yang kamu ambil untuk berkerja (dengan kita) ialah orang yang kuat lagi amanah.)[8]

Memang bidang tugas dan tanggungjawab berbeda antara satu pekerja dengan yang lain. Namun amanah dalam semuanya adalah jalan kearah mencapai kejayaan dan kecemerlangan. Dengan menjadi kewajipan baginya menjaga hak ummah dengan benar dan ikhlas. Tidak menjadikan kedudukan sebagai barangan yang diperniagakan dengan penipuan dan rasuah, curi tulang.

Apabila amanah diletakkan pada tempatnya berbahagialah ummah dan semua warganya. Sejarah telah membuktikannya.


Personaliti

Personaliti bermakna peribadi atau sahsiah. Ia merujuk kepada traits yang mencirikan peribadi orang berkenaan. Peribadi menggambarkan sifat personaliti individu yang membezakannya daripada orang lain. Sifat sahsiah merangkum gaya hidup, kepercayaan, harapan, nilai, motif, pemikiran, perasaan, budi pekerti, persepsi, tabiat, sikap dan watak seseorang. Mengikut G.W Allport dalam dalam bukunya “Pattern and Growth in Personality”, personaliti ditakrifkan sebagai organisasi dinamik sesuatu sistem psikofizikal di dalam seseorang individu yang menentukan tingkah laku dan fikirannya yang khusus. Sistem psikofizikal merangkumi segala segala unsur-unsur psikologi seperti tabiat, sikap, nilai, kepercayaan dan emosi, bersama dengan unsur-unsur fizikal seperti bentuk tubuh badan, urat saraf, kelenjar, wajah dan gerak geri seseorang (Mok Soon Sang, 1994:1). Personaliti mempunyai tiga ciri utama. Pertama, ialah keunikan dengan maksud tersendiri. Kedua, kebolehsuaian atau keupayaannya untuk berubah dan diubah; hasil pembelajaran atau pengalaman. Ketiga, ialah organisasi. Dengan perkataan lain ia bukan sekadar himpunan tingkahlaku sebaliknya ia melibatkan corak tindakan dan operasi yang bersifat konsisten. Tegasnya sahsiah mencerminkan sifat, fizikal, kognitif, emosi, sosial dan rohani seseorang.

Antara ciri-ciri utama sahsiah positif ialah mempunyai pegangan hidup yang mantaf yang dilambangkan dengan akidah, ibadat dan mujahadah yang berterusan. Ia juga memiliki harga diri, bertanggunjawab, berdisiplin, integriti dan kehidupan seimbang. Harga diri/nilai diri mendapat tempat teratas antara ciri-ciri tersebut ,dimana ianya diertikan sebagai penilaian keseluruhan atas kecekapan dan nilai diri seseorang itu sama ada secara positif atau negatif.
Yakin diri (self-confidence) dapat memisahkan antara kejayaan dan kegagalan seseorang. bagaimana membina rasa yakin diri yang antaranya termasuklah, mengenali siapa diri kita sebenar, memperaktik rasa boleh lakukan dan elakkan mencari kesempurnaan (perfection).
Termasuk dalam ciri-ciri sahsiah positif ialah mengatasi rasa malu (shyness) dan mengurus masa dengan baik.
Sifat-sifat lain yang juga perlu untuk membentuk individu yang efektif ialah:
Kekuatan fizikal kekuatan fizikal. Dengan setiap individu wajar melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Sekaligus ia mampu berusaha.
Akhlak yang luhur, peka, halus perasaannya, merendah diri, toleran, benar, kasih sayang, berkerjasama, qanaah, mempunyai kemahuan dan azam yang tinggi dan berfikiran positif sabar dan bersaing dalam perkara yang baik lagi positif.
Menjaga dan megurus masa dengan baik kerana ia sedar sesaat yang berlalu tidak mungkin akan dapat dikembalikan semula.
Bermanfaat kepada orang lain dalam kehidupan sosial. Sekali ia bukannya bersifat individualistik dan ego, sebaliknya mudah berdamping dengan orang lain.

Penutup:
Amanah adalah sifat terpuji dan terangkum dalam lingkungan personaliti yang baik yang mesti dimiliki oleh setiap individu, apalagi bagi mereka yang diamanahkan dengan sesuatu tanggungjawab dan sering berurusan dengan orang lain.



[1] Riwayat Iman Malik
[2] Surah al-Ahzab, 72.
[3] Surah al-Nisa`, 58.
[4] Surah al-Anfaal, 27.
[5] Surah al-Isra`, 36.
[6] Riwayat al-Hakim.
[7] Riwayat Muslim.
[8] Surah al-Qasas, 26.

1 comment:

Puan Ainon Mohd. said...

Saya sudah membaca tulisan Prof ini. Terima kasih.