Awasi perangkap laman web anti hadis
Source : Utusan Malaysia On-Line
Tuesday, May 08, 2007
Kebebasan bersuara dan juga konsep dunia tanpa sempadan dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memberi ruang kepada percambahan ilmu.
Namun demikian, hadis atau sunah Rasulullah tidak dijamin akan terpelihara seperti al-Quran. Ia menyebabkan ada usaha pihak tertentu yang menolak hadis sebagai salah satu sumber hukum Islam.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto SHAIFUDIN MOHD. NOR menemu bual pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman untuk mengupas persoalan ini.
UTUSAN: Dalam keghairahan mendalami Islam, apakah panduan untuk mengelak daripada terjebak dalam kumpulan anti hadis?
DR. FAUZI: Belajar atau menuntut ilmu sangat digalakkan dalam Islam. Banyak ayat al-Quran dan juga hadis yang menggalakkan kita menuntut ilmu.
Cuma yang penting ialah kita perlu memastikan siapakah guru kita atau dengan siapa kita nak berguru. Adakah guru itu cukup syarat dengan kata lain mempunyai autoriti atau kepakaran dalam bidangnya terutama yang berkaitan dengan Islam, maka teruskan.
Masalahnya, ada di antara kita yang mudah terpegun, terpesona dan terpengaruh dengan idea golongan tertentu tanpa bersandarkan kepada akademik.
Ada di kalangan masyarakat Islam yang mudah terpesona dengan idea-idea seseorang walaupun tidak mengetahui latar belakangnya terlebih dahulu.
Ini bukan sahaja melibatkan soal anti hadis tetapi juga perkara-perkara yang karut-marut. Sebab itu dalam mempelajari agama, hendaklah kita mencari guru yang layak. Maknanya guru itu perlu memiliki kelayakan yang diiktiraf.
Terdapat laman web khusus yang membicarakan soal Islam yang beroperasi bertopengkan Islam tetapi sebenarnya mengembangkan ideologi anti hadis. Apakah cara membanteras hal ini?
DR. FAUZI: Menggunakan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam perkara ini adalah sangat dituntut. Ini juga adalah bertepatan dengan firman Allah dalam surah Al-Anfaal: 60 yang menyuruh kita mempersiapkan diri menghadapi musuh.
Dalam era hari ini, mempersiapkan diri berhadapan musuh termasuk melengkapkan diri dengan keupayaan menggunakan ICT. Ini termasuklah kepada golongan pendakwah.
Melalui ICT, liputannya lebih meluas. Islam pun tidak pernah memusuhi teknologi tetapi yang kita banteras dan musuhi ialah teknologi yang digunakan bagi tujuan yang tidak baik atau menyesatkan umat. Perbuatan sebegini bukan sahaja membazirkan masa, tenaga tetapi juga buah fikiran.
Ringkasnya, perbuatan golongan anti hadis menyebarkan maklumat menerusi laman web ini tidak sepatutnya berlaku. Ingatlah, kita akan bertanggungjawab di depan Allah di akhirat kelak atas segala perbuatan kita di dunia ini.
Mereka ini sudahlah sesat tetapi menyesatkan orang lain pula.
Alangkah baiknya, jika kepakaran ICT itu digunakan untuk membangunkan umat melalui pengembangan ilmu yang hak dan hikmat.
Oleh itu, pihak berwajib perlu mengawal dan memantau kewujudan laman-laman web begini. Apa guna ada buku yang diharamkan penerbitannya tetapi boleh dimuat turun secara percuma melalui Internet.
Sebab itu, saya mengesyorkan perlu diwujudkan urus setia atau pasukan khas menangani hal ini. Jangan lagi kita bertangguh.
Islam telah menggariskan sumber hukum itu terbahagi kepada al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias. Apakah status golongan yang hanya berpegang kepada al-Quran sahaja?
DR. FAUZI: Menolak hadis bermakna mengingkari perintah Allah supaya kita taat kepada Rasulullah seperti juga taat kepada Allah. Hal ini banyak kali dijelaskan dalam al-Quran. Antaranya: Wahai orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan rasul-Nya. (al-Anfal: 20).
Saya acapkali menjelaskan bahawa perbuatan menolak hadis ialah isu lama yang diberi penjenamaan semula. Sekarang ia dibawa oleh golongan orientalis, dulu oleh fahaman muktazilah.
Hal ini berlaku antaranya akibat pertembungan pemikiran Barat. Mereka ini terikut-ikut kononnya pandangan Barat lebih saintifik sehingga terkeliru.
Menurut ulama terkenal, Dr. Mustaffa Al-Siba’i, anti hadis wujud kerana mereka ini gagal merujuk sumber Islam daripada sumber yang jernih.
Yang kedua, golongan ini ada kaitan dengan rasa terpegun dengan tradisi ilmiah kononnya golongan anti hadis ini lebih liberal, menggunakan logik akal dan sebagainya.
Faktor ketiga berkait dengan rasa bangga apabila mereka dikatakan orang yang berfikiran bebas atau free thinker.
Umat Islam telah diberi amaran agar tidak menyalahi rasul. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya: Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah rasul takut akan ditimpa fitnah cubaan atau ditimpa azab yang pedih. (an-Nur: 63)
Bagi golongan yang menolak hadis ini, bagaimana mereka mahu beramal?
DR. FAUZI: Inilah persoalan besar bagi golongan anti hadis. Sebabnya, dalam kehidupan seharian kalau kita bergantung kepada al-Quran sahaja banyak perkara yang kita tidak tahu. Semua benda asas dijelaskan menerusi hadis.
Tanpa hadis, kita tidak tahu bagaimana hendak menjalankan proses nikah kahwin misalnya. Begitu juga persoalan berkaitan solat.
Di dalam al-Quran sendiri terdapat lebih 40 ayat yang menganjurkan kita merujuk kepada Rasulullah. Maknanya merujuk kepada hadis.
Pandangan mengatakan hadis hanya valid semasa hayat baginda juga adalah tidak tepat. Ini dijelaskan oleh al-Quran: Dan tidaklah yang diucapkan itu menurut kemahuan nafsunya. Ucapan itu hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya). (al-Najm: 3-4)
Bagaimanakah golongan ulama dan ilmuwan Islam dapat membantu dalam berhadapan dengan ‘serangan’ menerusi ICT begini?
DR. FAUZI: Ulama kita pun harus mempunyai kemahiran asas menggunakan ICT. Ini bagi memudahkan mereka menjawab sebarang isu yang dibangkitkan. Jika tidak, ulama akan gagal berperanan sebagaimana sabda Rasulullah, ulama itu adalah pewaris nabi.
Motif golongan anti hadis ini amat jelas. Pertamanya, mereka menyerang Nabi Muhammad. Kedua, adakalanya mereka turut mempertikaikan al-Quran dan ketiga, perbuatan itu turut melibatkan para sahabat baginda.
Apabila ketiga-tiga hal ini dipertikaikan, maka apa lagi yang tinggal kepada umat Islam. Apa yang pasti, usaha mereka yang berjalan sejak dulu ini tidak pernah berhenti.
Dalam hal ini, kita perlu usaha yang kolektif terutama melibatkan pihak berwajib. Seperkara lagi, kalau perlu kita boleh mengadakan dialog tertutup dengan golongan yang ahli. Kalau dialog terbuka, ia tidak akan berhasil menyelesaikan isu ini.
Bekas Timbalan Rektor Universiti al-Azhar, Prof. Dr. Musa Sharin Lashin pernah berkata, golongan yang menolak hadis ini sama seperti menolak nabi dan menolak syariat Islam.
Pepatah Inggeris menyebut, don't judge a book by its cover. Tetapi dalam masyarakat kita, kalau berjubah, berserban pasti hebat ilmu agama. Benarkah penilaian sedemikian?
DR. FAUZI: Islam tidak ada uniform khas. Jangan kita tertipu dengan imej luaran. Sebaliknya kita kena tengok apa yang individu itu kata, bukannya siapa yang berkata. Selagi ia bertepatan dengan al-Quran dan hadis, bolehlah ia diterima. Jika sebaliknya, walaupun orang itu memakai jubah atau berserban besar pun, jangan kita terima kata-katanya bulat-bulat.
Memanglah ulama dahulu seperti Imam Malik apabila hendak bersyarah tentang ilmu hadis, beliau akan berpakaian cantik. Itu adalah antara adab. Cuma kita jangan terpesona dengan mazahir. Tidak semestinya berjubah itu orang yang mahir ilmu agama.
Dalam sejarah Islam, gerakan anti hadis bukanlah perkara baru. Namun, soalnya mengapa golongan ini terus mendapat tempat dalam sesetengah masyarakat.
DR. FAUZI: Sebab utamanya ada di antara ilmu Islam yang tidak menyeluruh. Kedua, mahu jalan singkat menuntut ilmu agama. Walhal tidak ada jalan pintas dalam menuntut ilmu.
Yang ketiga, terpesona dengan pendekatan oleh golongan yang anti hadis.
Islam tidak menolak logik tetapi ia perlu dibatasi oleh wahyu. Malangnya, golongan khalayak yang kurang maklumat tentang Islam akan melihat kepada apa yang sesuai dengan mereka. Ini secara tidak langsung menyebabkan mereka masuk perangkap.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment