Sunday, April 20, 2008

HADITH: KECEMERLANGAN LAMPAU DAN REALITI KINI


Pengantar:

Hadith atau Sunnah Rasulullah (s.a.w.) mempunyai kedudukan yang tertinggi dalam Islam. Kedudukan itu tidak pernah terjejas walaupun usaha untuk mempertikaikan telah dan sedang dijalankan oleh segelintir mereka yang mengaku sebagai Muslim. Para ulama dan ilmuan Islam telah memberikan sumbangan yang berterusan dalam mengembang, menegak dan mempertahan pusaka peninggalan Rasulullah (s.a.w.) itu.

Rasulullah (s.a.w.) telah pergi meninggalkan umatnya dan kembali ke pangkuan Allah, setelah syariat yang dibawanya sempurna dan lengkap.

Firman Allah:

“Hari ini Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan Aku lengkapkan ni`matKu serta Aku redha untuk kamu Islam ini menjadi Din kamu”.


Pengertian hadith:
Kebanyakan muhaddithin berpendapat yang hadith dan sunnah adalah sinonim. Kedua-duanya merujuk kepada apa jua yang terima dari Nabi (s.a.w.) dari sabdaan, laku perbuatan, taqrir, sifat fizikal atau akhlak, atau sirah selepas kebangkitannya menjadi Rasul atau sebelumnya.[2]

Pun begitu ada kecenderungan setengah ulama untuk membedakan antara kedua-duanya. Dimana hadith adalah periwayatan secara lafdhi bagi sabdaan,amalan dan keadaan Rasulullah (s.a.w.), sedangkan sunnah adalah perbuatan atau amalan yang diriwayatkan dari baginda. Perbedaan ini agak ketara dari ungkapan kalangan salaf al-ummah. Al-A`masy (m.148H) berkata:
“Saya tidak mengetahui satu kaum yang lebih baik dari kaum yang mempelajari hadith dan mengasihi al-sunnah”.

Abd al-Rahman bin al-Mahdi (m.198H) apabila ditanya mengenai Imam al-Awza`iy (m.157H), al-Hafidh Sufyan bin `Uyaynah (m.198H) dan Imam Malik bin Anas (m.179H), beliau menjawab: Sufyan imam dalam hadith tetapi bukan imam dalam sunnah, Awzaii imam dalam sunnah tetapi bukan imam dalam hadith, Malik imam dalam hadith dan sunnah.

Ternyata dari pandangan tersebut yang hadith adalah teori sedang sunnah adalah amalinya.

Hubungan antara al-Qur`an dan hadith:

Walaupun Al-Qur`an merupakan sumber tertinggi dalam Islam, namun tidak semua ayat-ayatnya dapat difahami tanpa pernjelasan Rasulullah (s.a.w.). Imam Abu Hanifah berkata: Kalaulah tidak kerana sunnah tiada seorangpun dari kalangan kita yang memahami al-Qur`an.[3]

Ada ayat yang diturunkan dalam bentuk yang umum. Ia memerlukan penjelasan dan keterangan dari Rasulullah (s.a.w.). Umpamanya perkataan zulm yang disebut pada ayat 82 surah al-An`am, begitu juga perintah memotong tangan si pencuri yang terdapat pada ayat 38 surah al-Maaidah.

Malah ibadat-ibadat utama seperti solat, zakat, puasa dan haji tidak dapat dikerjakan tanpa panduan dari Rasulullah (s.a.w.). Al-Qur`an merupakan asas sedang hadith adalah penjelas. Al-Qur`an adalah teori sedang hadith adalah pelaksanaan amali dari Rasulullah (s.a.w.) terhadap apa yang terdapat dalam al-Qur’an itu. Al-Qur`an memerintahkan supaya didirikan solat tetapi tidak dinyatakan bilangan rekaat, awal dan akhir waktu solat, malah cara solat itu sendiri tidak dinyatakan.

Fungsi dan peranan Rasulullah (s.a.w.) melalui hadithnya itu benar-benar difahami oleh para sahabat khususnya dan salaf al-salih umumnya. Justeru taat kepada nabi adalah wajib, dengan itu beramal dengan setiap hukum dan arahannya adalah wajib. Kedudukan ini adalah berasaskan kepada fakta dari al-Qur’an, hadis-hadis nabi sendiri, ijmak ummah dan akal yang waras.

Menyedari realiti inilah didapati kalangan salaf al-Salih khususnya para sahabat yang menerima serba serbi dari Rasulullah (s.a.w.) tanpa soal. Merekalah yang mengajar generasi berikutnya segala yang mereka terima dan lihat dari Rasulullah (s.a.w.). Ini jelas dari kenyataan yang keluar dari mereka dan juga amalan mereka.

`Imran bin Husayn umpamanya menempelak lelaki yang berkata kepadanya: Tuan bercakap dengan hadith-hadith yang tiada asasnya dalam Qur`an?[4]

Al-Suyuti menyebut dalam al-Durr al-Manthur yang Khalid bin Usayd pernah menyebut di hadapan Ibn `Umar: Kami mendapati mengenai solat semasa kami dalam keadaan bermukim dan juga solat semasa dalam ketakutan, kami tidak mendapati solat musafir dalam al-Qur`an? Ibn `Umar menjelaskan: Wahai anak saudaraku! Sesungguhnya Allah telah mengutuskan kepada kami Muhammad (s.a.w.) dalam keadaan kami tidak mengetahui sesuatupun, sesungguhnya kami berbuat apa yang Rasulullah membuatnya, qasar solat semasa musafir adalah amalan yang disunnahkan oleh Rasulullah (s.a.w.).[5]

Kelebihan berpegang dengan hadith/sunnah:

Pendokong hadith di zaman gemilangnya bersungguhnya untuk mempelajarinya kerana mereka begitu arif akan kebaikan dan kelebihannya. Malah di zaman itu, hadith merupakan ilmu terpenting selepas ilmu berkaitan al-Qur`an.
Antara kelebihan mempelajari hadith, berpegang dengannya dan mengajar orang lain ialah:
Telah dijelaskan yang hadith adalah penjelasan yang sahih dari al-Qur`an. Sekaligus sesiapa yang mengambil dari hadith sesungguhnya ia telah mengambil dari al-Qur`an sebagaimana yang didatangkan oleh Allah. Merekalah yang paling tau mengenai al-Qur`an. Khalifah Umar r.a. dan `Ali bin Abu Talib pernah berkata: Ampunya sunnah sahaja yang paling tahu mengenai Kitab Allah.[6]
Mempelajari hadith suatu jalan untuk beristiqamah di atas agama Allah dan jalan untuk mencapai keredhaan Allah dan keampunanNya. Firman Allah:


(Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”.[7]

Sesiapa yang mempelajari hadith memungkinnya untuk mengikut Rasulullah (s.a.w.) dan menjadikan baginda ikutan, bagi yang tak belajar tak mungkin baginya untuk mengikut baginda kerana ia sendiri tidak tahu, bagaimana ia hendak mengikutnya.

· Mempelajari sunnah dapat memelihara dari penyelewengan dan kesesatan.
Mengenali kebenaran boleh menghalang dari kebatilan. Hadith Rasulullah adalah haq, sesiapa yang mengetahuinya akan menginkari yang munkar dan berusaha menjauhinya, mengenal yang hak akan mendorongnya untuk berpegang dengannya.
Ganjaran yang besar:

Rasulullah (s.a.w.) pernah mendoakan bagi mereka yang mendengar hadith dan menyampaikannya kepada orang dengan wajah yang berseri-seri seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud. Ganjaran yang berlipat ganda disediakan untuk mereka. Sabda Rasulullah (s.a.w.):

“Sesiapa yang menghayati satu sunnah dari sunnahku yang telah mati selepasku, sesungguhnya baginya ganjaran seperti ganjaran orang yang beramal dengannya dari kalaangan orang ramai, tanpa mengurangkan ganjaran mereka sedikitpun, dan barangsiapa yang mereka-reka satu bid`ah yang tidak diredhai oleh Allah dan RasulNya, maka keatasnya dosa sebagaimana dosa siapa yang beramal dengannya dari kalangan manusia, tanpa mengurangkan dosa manusia itu sedikitpun”. [8]

GESAAN SUPAYA SENTIASA BERPEGANG DENGAN HADITH:

Sebagai Muslim, kita sentiasa dianjurkan supaya sentiasa menjadikan Sunnah Rasulullah sebagai pegangan. Oleh kerana Rasulullah (s.a.w.) itu adalah uswah bagi setiap warga Islam, maka sekaligus sunnah atau hadithnya hendaklah dijadikan pegangan. Ia merupakan panduan bagi umat Islam bersama al-Qur’an. Umat Islam tidak dibiarkan mencari sendiri landasan hidupnya. Betapa hebatpun manusia ia tetap memerlukan bimbingan wahyu, justeru ilmu yang dikurniakan untuk manusia pada hakikatnya sangat sedikit dan terbatas di sekitar alam benda ini sahaja. Ia tidak dapat menjangkau alam metafizik dan rohani.

Rasulullah (s.a.w.) meninggalkan umatnya setelah syariat yang dijadikan pegangan dan panduan ini lengkap sempurna.

Sabda Rasulullah (s.a.w.):

“Aku tinggalkan kamu dalam suasana yang jelas nyata, malam dan siangnya sama sahaja”.[9]

Abu Zar (r.a.) berkata: Kami telah ditinggalkan oleh Rasulullah (s.a.w) dan tidak bergerak burung akan sayapnya kecuali telah disebut kepada kami darinya ilmu.

Dalam hadith lain, Rasululah (s.a.w.) bersabda:

“Tidak tertinggal satupun dari perkara yang mendekatkan ke syorga dan menjauhkan dari neraka kecuali telah diterangkan untuk kamu semua”.[10]
Kalau Nabi-nabi terdahulu berkewajipan menunjukkan kepada umatnya kebaikan dan memberikan amaran terhadap perkara buruk, seperti yang dijelaskan oleh baginda sendiri dalam satu hadith riwayat Muslim,[11] masakan baginda sendiri tidak berbuat seperti yang telah dilaksanakan oleh nabi-nabi tersebut.

Rasulullah (s.a.w.) menjelaskan yang sebaik-baik hidayah dan petunjuk adalah petunjuk Muhammad, sejahat-jahat perkara adalah perkara yang direka-reka dan setiap bid’ah itu adalah sesat.[12]

Dalam satu hadith yang lain baginda telah memerintahkan melalui sabdanya:
“Saya berpesan kepada kamu dengan taqwa kepada Allah,dengar danpatuh walaupun ia seorang hamba Habsyi, maka sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas ini akan melihat selepasku perselisihan yang banyak, dengan itu hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin,gigitlah dengan gigi gerham kamu…[13]

Bertitik tolak dari realiti inilah para sahabat, tabi’in juga para ulama’ menganjur dan mengingatkan generasi selepas mereka supaya sentisa berpegang teguh dengan sunnah yang ditinggalkan oleh baginda (s.a.w.). Diperturunkan di sini beberapa contoh:

Imam al-Zuhri berkata: Ulama kita yang terdahulu pernah berkata: Berpegang dengan sunnah adalah penyelamat.[14]

Al-Awza’ii berkata: Dikatakan ada lima perkara yang berpegang dengannya para sahabat Muhammad dan mereka yang mengikutnya dengan baik: Melazimkan diri dalam jamaah, mengikut sunnah, mengimarahkan masjid, tilawah al-Qur’an,berjihad pada jalan Allah.[15]

Abdullah bin al-Daylami berkata: Telah sampai kepadaku yang perkara pertama yang akan hilang dari agama ini ialah meninggalkan sunnah, hilang dari agama ini sunnah satu demi satu, sebagaimana hilang dari tali itu kekuatan seutas demi seutas.[16]

Abu Muhammad Sahl bin Abdullah al-Tustari berkata: Prinsip kita ada enam: Berpegang dengan kitab Allah, mengikut sunnah Nabi (s.a.w.), makan yang halal, menahan diri dari menyusahkan orang lain, menjauhi dosa, taubat dan melaksanakan segala hak.[17]

Beliau juga ada berkata: Prinsip mazhab kami ada tiga: Mengikut Nabi (s.a.w.) dalam akhlak dan perbuatan, makan yang halal, ikhlas niat dalam semua amalan.[18]

Al-Junayd ada berkata: Kesemua jalan tertutup bagi setiap makhluk kecuali sesiapa yang mengikut jejak Rasul, mengikut sunnahnya, melazimi jalannya, keemua jalan kebajikan semuanya dibuka untuknya.[19]

Kenapa mesti berpegang dengan Sunnah Rasulullah s.a.w.?

Dengan berpegang kepada sunnah, menunggu kebaikan dan kebajikan yang kembali kepada individu itu sendiri, masyarakat, agama dan tidak ketinggalan dunia.

Ibn Qudamah berkata: Dalam mengikut sunnah itu keberkatan kerana seiring dengan syarak, redha Allah, ketinggian kedudukan, keselesaan fizik, ancaman untuk syaitan dan mengikut jalan yang lurus.[20]

Ibn Hibban menyebut: Dalam komitmen dengan sunnah itu: keselamatan, kehormatan, lampunya tidak terpadam,hujjahnya mantap. Menjaganya terpelihara, meninggalnya adalah penyesalan…[21]

Syeikh Abd Ghani Abd al-Khaliq dalam Hujjiah al-Sunnah telah memetik apa yang disebut oleh al-Ghazali: Kunci kebahagian adalah dalam mengikut sunnah dan mengikut Rasulullah (s.a.w.) dalam setiap sumbernya, diam dan geraknya hinggakan makan minum,gerak geri, tidur dan percakapan, bukan dalam perkara ibadat sahaja malah kebiasaan juga.[22]

Rengkasnya dengan mengikut sunnah, menunggu di sana faedah yang banyak, antaranya:
Dapat mencapai kecintaan dari Allah.
Dapat menampung kekurangan dalam amalan fardhu.
Ganjaran yang berlipat ganda.
Terpelihara dari terjebak dengan bid`ah.
Menegakkan syiar Allah.
Dapat mengelakkan perpecahan.

Kecemerlangan lampau:

Para sahabat melihat Rasulullah (s.a.w.) itu adalah segala-galanya, mereka meneliti gerak geri , perbuatan dan amalannya untuk diteladani dari sebesar-besar perkara membawalah ke sekecil-kecilnya.

Sahabat-sahabat agong seperti Abu Bakr dan Umar semasa menjadi khalifah apabila ada aduan dan kemusykilan akan merujuk kepada hadith apabila tidak terdapat jawapan dalam al-Qur`an.

Al-Darimi dan al-Bayhaqi meriwayatkan dari Maymun bin Mahran, katanya: “Abu Bakr apabila ada pertikaian beliau akan melihat kepada Kitab Allah, apabila terdapat sesuatu yang boleh diputuskan dengan al-Qur`an beliau akan diputuskan dengannya di kalangan mereka, jika tidak terdapat dalam Kitab Allah, dilihat apakan ada dari Rasulullah sesuatu mengenainya,jika diketahui ada akan diputuskan dengannya, jika tidak diketahui beliau akan keluar kepada orang ramai dengan katanya: Datang kepada saya sekian…sekian, telah saya lihat dalam Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah (s.a.w.), saya tidak mendapati sesuatupun, adakah kamu mengetahui yang Rasulullah (s.a.w.) telah memutuskan apa-apa keputusan mengenainya? Mungkin ada yang berdiri dan berkata: Ya! Lalu diputuskan dengan apa yang diputuskan oleh Rasulullah (s.a.w.), seraya berkata: Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan ada dikalangan kami seseorang yang menghafaz dari Nabi kami.

Jika tidak didapati, akan dijemput pemuka kaum dan ulama` mereka, lalu diminta pandangan mereka, apabila mereka sepakat atas apa-apa perkara akan diputuskan dengan demikian.

‘Umar juga berbuat demikian, jika tidak terdapat dalam al-Kitab dan al-Sunnah, diteliti apakah ada keputusan mengenai telah dibuat oleh Abu Bakr, jika tidak beliau akan mengumpulkan pimpinan kaum dan ulama mereka dan diminta pandangan, bila tercapai kata sepakat akan diputuskan dengannya.

Beliau juga pernah menulis kepada Surayh semasa dilantik menjadi Qadi di Kufah, antara lain dinyatakan:

“Telitilah apa yang jelas bagi kamu dari Kitab Allah, dan janganlah bertanya kepada seorangpun, jika tidak nyata bagimu, ikutlah dalam perkara tersebut Sunnah Rasulullah (s.a.w.), jika tiada berijtihadlah dan berbincanglah dengan ahli ilmu dan orang yang baik-baik”.[23]

Perhatian yang diberikan terhadap hadith oleh generasi sebelum ini terserlah melalui pengajian hadith yang berterusan, diskusi berkala segenap lapisan masyarakat, termasuk juga penulisan hadith, rihlat bagi mendapatkan hadith, perhatian terhadap sanad hadith, dilengkapkan pula dengan ulasan dan syarahan yang diberikan terhadap berbagai karya hadith.

Sebagai rujukan pula, para sahabat, tabi`in dan generasi selepasnya terus menjadikan hadith sebagai rujukan mereka dalam segala urusan, samada ibadat, penentuan halal haram, muamalat dan selainnya. Jejak langkah tersebut dituruti oleh ulama sezaman, imam-imam besar dan para pengikut mereka. Hadis atau sunnah menjadi wadah yang sentiasa subur dan terus memberi inputnya.

Zaman gemilang hadith Rasulullah tidak selamanya meriah. Bermula dari kurun ke 10 sehingga kurun ke 13 merupakan zaman suram bagi ilmu hadith, namun setelah berhadapan dengan serangan ketenteraan, politik dan budaya. Ini telah memberi kesan yang besar terhadap umat Islam dan banyak mempengaruhi suasana keseluruhan dalam hubungan mereka dengan hadith Nabi (s.a.w.).

Realiti kini:

Rasulullah (s.a.w.) telah pergi meninggalkan umatnya lebih dari 1400 tahun.
Dengan itu Islam yang diturunkan oleh Allah dan disampaikan oleh RasulNya serta difahami oleh para sahabatnya telah terdedah kepada salah faham dikalangan umatnya hari ini tidak terkecuali sunnah Rasulullah (s.a.w.).
Ini berpunca dari tiga kumpulan manusia yang telah disebut oleh Rasulullah (s.a.w.) sendiri iaitu pelampau, pemalsu dan juhala`. Sabda Rasulullah (s.a.w.):

“Ilmu ini akan dibawa bagi setiap generasi mereka yang adil, tertolaklah dengan penyelewengan para pelampau, bawaan para pemalsu dan takwilan mereka yang jahil”.

Berpunca dari golongan tersebutlah lahirnya berbagai aliran pemikiran dan pemahaman yang menyimpang dari sumber-sumber Islam yang sebenar, yang sekaligus boleh merosakkan aqidah mereka. Antaranya:

Menolak hadith Rasulullah (s.a.w.) dengan alasan al-Qur`an sudah memadai untuk memahami Islam.

Kumpulan ini merujuk kepada latar belakang sejarah yang agak lama, Imam al-Shafii ada menyebut mengenai kumpulan ini dalam al-Risalah dan telah mematahkan hujjah mereka, ia kemudiannya diberi nafas baru terutamanya oreintalis dan kuncu-kuncu mereka.

Trend untuk menerima setengah hadith dan menolak setengah yang lain.

Ada setengah kalangan yang menerima hadith yang mutawatir tetapi menolak hadith ahad terutamanya dalam hukum hakam dan perkara akidah. Namun, ahli hadith menerima semua hadith yang memenuhi kriteria-kriteria hadith yang sahih tanpa mengira samada ia mencapai tahap mutawatir atau tidak. Malah penghayatan sunnah juga adalah secara serpihan sahaja dan mengikut apa yang selari dengan kemahuan mereka semata-mata.

Kecenderungan untuk mentafsirkan hadith nabi mengikut tafsiran sendiri tanpa mangambil kira prinsip dan kaedah yang telah diterima pakai oleh generasi terdahulu.

Hadith sama juga dengan al-Qur`an memerlukan ilmu-ilmu asas yang membantu seseorang dalam memahami maksudnya yang sebenar. Tanpanya, seseorang akan terdedah kepada penyelewengan dalam memahaminya.

Kecenderungan untuk menerima pandangan dan tafsiran individu.

Kebenaran tidak dinilai berdasarkan faktor individu tetapi keserasian dengan wahyu. Justeru, penjelasan yang ma`thur samada dari Rasulullah (s.a.w.), para sahabat dan tabiin diberi keutamaan.

Tidak memahami hadith dan tidak mempedulinya.

Ia terdiri dari mereka yang tidak tahu kenapa mereka dijadikan oleh Allah. Menjadi hamba dunia dan merupakan pengikut nafsu yang setia. Mereka laksana bola yang berada dikaki kanak-kanak, yang akan ditendang kemana sahaja.

Namun begitu, kebenaran itu sehebat mana sekalipun tekanan dan serangan, ia tepat terserlah jua. Cahaya Allah akan tetap sempurna walaupun banyak pihak cuba memadamkannya. Sekuat mana serangan terhadapnya, akan tetap ada pembelanya dan suara-suara yang mempertahankannya.Begitulah keadaannya hadith Rasulullah (s.a.w.), ia tetap bersemi di hati setiap yang beriman.

Kelemahan umat Islam tetap ada, namun ia tidak bermakna, ia sudah tidak dapat diperbaiki. Langkah yang pertama ialah sedar dan mengaku kelemahan dan belajar dari kesilapan, kemudian bangkit dengan penuh yakin untuk mencapai kecemerlangan.

Sunnah adalah penyelamat:

Umat Islam telah ditinggalkan oleh Rasulullah (s.a.w.) lebih dari 1,400 tahun. Rata-rata mereka berhadapan dengan kemelut untuk meneruskan survival mereka setelah diserang dari segenap penjuru, yang mengakibatkan mereka ketinggalan dalam setiap aspek kehidupan. Namun rumat Islam tidak boleh berputus asa dan berpeluk tubuh kerana mereka mempunyai potensi untuk bangkit dan kembali disegani. Masakan tidak, umat Islam dikurniakan dengan insentif yang cukup banyak untuk memulihkan semula kedudukan mereka.

Apa yang sudah berlalu mestilah diteladani untuk merangka masa depan yang gemilang. Pengalaman lampau adalah antara asset yang sangat berguna.Imam Malik r.h berkata: Tidak akan jadi baik umat yang akhir kecuali dengan apa yang sudah baik generasi awalnya.

Salaf al-salih disamping mantap kekuatan fizikalnya, mereka juga unggul dalam kekuatan rohani dan mempunyai komitmen yang tinggi dan tidak berbelah bahagi dengan wahyu iaitu al-Qur`an dan al-Sunnah. Hasilnya mereka dapat menguasai satu pertiga dunia. Kalau mereka boleh melakukannya, masakan generasi terakhir tidak boleh melakukannya.

Penutup:

Tiada pilihan bagi umat Islam kecuali kembali ke pangkal jalan setelah sesat di hujung jalan. Setelah berbagai sistem dan teori yang diimpot dan dilaksanakan untuk mencapai apa yang dicita-citakan, namun kesemuanya berakhir dengan kegagalan. Islam tetap akan mengambil giliran, namun tidak dengan cara yang mudah kerana tiada jalan singkat untuk sampai ke puncak. Ia menuntut penglibatan dan kesungguhan semua kalangan ummah tanpa terkecuali, kepimpinan umat juga rakyat jelata. Kemelut ummah pasti akan dapat diatasi jika mereka kembali kepada wahyu; al-Qur`an dan al-Sunnah dengan sebenar-benarnya. Jauhilah sikap mengutamakan pemikiran dan pendapat sendiri mengatasi wahyu dan panduan nabawi. Sehebat manapun kecerdikan dan pencapaian keilmuan seseorang ia hanya segelumit dari pemberian Allah untuknya.


[2] Lihat: Majmu` Fatwa Syeikh al-Islam, 18/9-10; Khaldun al-Ahdab, Asbab Ikhtilaf al-Muhaddithin, 1/25; Al-Sibaii, al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tashri` al-Islami, hal. 47.
[3] Dipetik oleh al-Qasimi dalam Qawa`id al-Tahdith, hal. 52 dari al-Sya’rani.
[4] Rujuk: Miftah al-Jannah, hal. 6; al-Mustadrak, 1/109.
[5] Ia dirawayatkan oleh Al-Nasaii, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Bayhaqi.
[6] Ibn Hazm, Al-Ihkam, 2/250, Miftah al-Jannah, hal.34.
[7] Surah Ali-`Imran, 3:31
[8] HR Ibn Majah, 1/210; Tirmidhi, 7/443 hadith no. 2817.
[9] Riwayat Ibn Majah dalam al-Sunan, 1/4, sebahagian dari hadith yang panjang.
[10] Ahmad, al-Musnad, 5/135. Hadith ini diriwayat juga oleh al-Tabarani, menurut al-Haithami dalam al-Majma` 8/264: rijalnya adalah rijal yang sahih.
[11] Lihat Hadith Abdullah bin Amr ibn al-`As dalam Sahih Muslim, 3/1473.
[12] Maksud hadith riwayat Muslim dalam kitab al-Jum’ah, 2/592.
[13] Riwayat ashab al-sunan kecuali al-Nasaii. Disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Dhahabi (Mustadrak, 1/96).
[14] Sunan al-Darimi, 1/44.
[15] Abu Nu’aiym al-Asbihani, Hilyat al-Awliya’, 6/142.
[16] Sunan al-Darimi, 1/44
[17] Abu Nuaym, op.cit, 10/190
[18] Qadi ‘Iyadh, al-Syifa`, 2/558.
[19] Abu Nuaym, op.cit., 10/257.
[20] Ibn Qudamah al-Maqdisi, Dham al-Musawisin, Mesir: Al-Faruq al-Hadithiah, t.t., hal.41.
[21] Lihat Muqaddimah Sahih Ibn Hibban, 1/102.
[22] Abd Ghani Abd Khaliq, Hujjiah al-Sunnah, hal.80-81.


[23] Lihat: I`lam al-Muwaqi`in oleh Ibn al-Qayyim, lihat juga: Miftah al-Jannah fi al-Ihtijaj bi al-Sunnah.

No comments: