Saturday, August 21, 2010

Penjelasan mengenai solat sunat witir

Saya telah dihubungi oleh seorang kawan diawal Ramadhan yang lalu menceritakan mengenai imam di surau tempatnya semasa solat witir yang ditunaikan tiga rakaat satu salam tetapi telah duduk untuk tahiyyat awal pada rekaat kedua sama seperti melakukan solat Maghrib. Tindakan imam tersebut telah menyebabkan ada segelintir jemaah yang keliru. Selang beberapa hari selepas itu, saya dibubungi oleh seseorang melalui e-mail dan bertanyakan mengenai kaifiyyat solat witir kerana dia mendapati imam di tempatnya telah melakukannya tiga rakaat satu salam, dia keliru kerana setahunya solat witir hendaklah dilakukan dengan tiga rakaat dua salam.

Dengan itu ada baiknya diteliti isu ini untuk menjelaskan kedudukannya. Sesungguhnya solat witir adalah antara amalan yang utama bagi mendekatkan diri dengan Allah. Sebahagian ulama berpendapat ia adalah sunat muakkad, malah kalangan ulama dalam mazhab Hanafi berpendapat ia adalah wajib. Yang nyata ia adalah suatu amalan yang sewajarnya dijaga oleh setiap Muslim dan tidak meninggalkannya.

Malah Imam Ahmad bin Hanbal berkata: Sesiapa yang meninggalkan witir adalah orang yang tidak baik dan tidak wajar diterima kesaksian darinya. Ini menunjukkan betapa solat witir sangat diberatkan melakukannya.

Adapun cara melakukannya bolehlah direngkaskan seperti berikut:

i. Waktunya:

Bermula sebaik selepas solat Isha` dan berpanjangan sehingga naik fajar. Berdasarkan sabda Nabi SAW: Sesungguhnya Allah menyediakan untuk kamu dengan satu solat iaitu witir, dijadikan Allah bagi kamu antara solat Isha` hingga naik fajar. (HR al-Tirmidhi: 425 dan disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmidhi.

ii. Adakah afdhal dilakukan di awal waktunya atau diakhirnya?
Berdasarkan hadith dinyatakan bagi mereka yang mempunyai keazaman yang tinggi untuk melakuk pada akhir malam, maka bangunlah di akhir malam, afdhal baginya ialah mengakhirkannya kerana solat diakhir malam itu afdhal kerana ia disaksikan. Mereka yang bimbang tidak dapat bangun diakhir malam maka berwitirlah sebelum ia tidur berdasarkan hadith Jabir RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang bimbang tidak dapat bangun di akhir malam maka berwitirlah pada awalnya, sesiapa yang berazam kuat untuk bangun di akhir malam maka berwitirlah di akhir malam, sungguhnya solat akhir malam itu disaksikan dan dengan demikian ia afdhal. (HR Muslim, 755).
Imam Nawawi berkata: Inilah yang betul. Diandaikan hadith-hadith lain yang mutlak bentuknya berbanding keafdhalan yang jelas yang dinyatakan dalam hadith ini, seperti hadith: “Telah berpesan kepada saya kekasih saya (iaitu Rasulullah SAW) agar jangan tidur kecuali dengan witir, diandaikan bagi mereka yang tidak yakin ia dapat bangun diakhir malam. (lihat: Syarh Muslim, 3/277).

iii. Bilangan rakaat:

Sekurang-kurang bilangan witir adalah satu rakaat berdasarkan sabda Rasulullah SAW: Witir itu satu rekaat di akhir malam (HR Muslim, (752) dan sabda Rasulullah SAW; Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat, jika seorang kamu bimbang masuknya waktu subuh maka solatlah satu rakaat sebagai witir bagi apa yang kamu solat sebelumnya.(HR al-Bukhari, 911). Harus dikerjakan solat witir dengan tiga, lima, tujuh dan sembilan rakaat.

Jika melakukan solat witir tiga rakaat, ada dua caranya, kedua-duanya mengikut syarak.

Pertama: Dikerja tiga rakaat sekaligus dengan satu tasyahhud. Ini adalah berdasarkan hadith `Aishah katanya:

" كان النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يسلّم في ركعتي الوتر " ، وفي لفظ " كان يوتر بثلاث لا يقعد إلا في آخرهن "


Rasulullah SAW tidak memberi salam pada rakaat kedua witir. Dalam riwayat lain: Baginda berwitir tiga rakaat dan tidak duduk kecuali diakhirnya. (Diriwayatkan oleh al-Nasaii 3/234; al-Bayhaqi, 3/31.

Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk (4/7) berkata: Diriwayatkan oleh al-Nasaii dengan sanad yang hasan dan al-Bayhaqi dengan sanad yang sahih.

Kedua: Bersalam pada rakaat kedua dan witir dengan satu rekaat. Cara ini dilakukan oleh Ibn Umar dimana beliau mengasingkan antara al-syafa’ (solat dua rakaat) dengan witir dengan salam. Dikhabarkan yang Rasulullah SAW melakukan sedemikian. (Riwayat Ibn Hibban, 2435; Imam Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (2/482) berkata: Sanadnya kuat.
Jika berwitir dengan lima atau tujuh rakaat, ia hendaklah dilakukan secara berterusan dan bertashahhud pada rakaat yang terakhir dan salam selepas itu. Berdasarkan apa yang diriwayat dari ‘Aishah katanya:

كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يصلي من الليل ثلاث عشرة ركعة يوتر من ذلك بخمس لا يجلس في شيء إلا في آخرها

Rasulullah SAW melakukan solat malam sebanyak 13 rakaat dan berwitir dengan lima rakaat, tidak duduk antaranya kecuali pada akhirnya. (HR Muslim, 737).

Ummu Salamah RA berkata: Rasulullah SAW berwitir dengan lima dan tujuh rakaat dan tidak diselangi dengan salam antaranya. (HR Ahmad, 6/290; al-Nasaii 1714. Imam Nawawi berkata: Sanadnya Jayyid. Lihat: Al-Fath al-Rabbani 6/290. Hadith ini dinilai sahih oleh Syeikh Nasir al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan al-Nasaii.

Apabila witir dilakukan dalam sembilan rakaat, ia dilakukan berterusan dengan duduk untuk bertasyahuud pada rakaat yang kelapan kemudian bangun untuk rekaat kesembilan dan bertasyahhud pada rakaat tersebut dan bersalam. Berdasarkan hadith dari ‘Aishah:

أن النبي صلى الله كان َيُصَلِّي تِسْعَ رَكَعَاتٍ لا يَجْلِسُ فِيهَا إِلا فِي الثَّامِنَةِ فَيَذْكُرُ اللَّهَ وَيَحْمَدُهُ وَيَدْعُوهُ ثُمَّ يَنْهَضُ وَلا يُسَلِّمُ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّ التَّاسِعَةَ ثُمَّ يَقْعُدُ فَيَذْكُرُ اللَّهَ وَيَحْمَدُهُ وَيَدْعُوهُ ثُمَّ يُسَلِّمُ تَسْلِيمًا يُسْمِعُنَا

Bahawa Nabi SAW solat sembilan rakaat, tidak duduk padanya kecuali dirakaat yang kelapan lalu dia menyebut nama Allah (zikir), memujiNya dan berdoa lalu ia bangkit tanpa salam, bangun solat untuk rakaat yang kesembilan kemudian duduk lalu dia menyebut nama Allah (zikir) , memujiNya dan berdoa kemudian bersalam dengan salam yang kami dengar. (HR Imam Muslim (746).

Jika berwitir dengan 11 rakaat, hendaklah bersalam selepas setiap dua rakaat dan disudahi dengan satu rakaat.

Witir yang dilakukan tiga rekaat, Imam al-Nasaii meriwayatkan dengan sanadnya dari Ubai bin Kaab mengenai surah-surah yang dibaca oleh Rasulullah SAW katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْوِتْرِ بِسَبِّحْ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى وَقُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ

Hadith diatas diriwayatkan oleh al-Nasaii 1729 dan dinilai sahih oleh Syeikh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Nasaii.

Dari riwayat ini didapati Nabi SAW membaca surah al-A’la untuk rakaat pertama, surah al-Kafirun pada rakaat yang kedua dan surah al-Ikhlas pada rakaat yang ketiga.


Inilah kayfiat solat witir yang dinyatakan dalam sunnah Rasulullah SAW. Dengan itu untuk mencapai kesempuraan , kayfiat yang dinyatakan itu seeloknya dilakukan kesemuanya dan tidak terbatas kepada satu cara sahaja , sekaligus dapat mengerjakan sunnah itu semuanya.




والله تعالى أعلم .

Tuesday, August 17, 2010

Taqwa: Pengertian dan Kepentingannya:

Di saat kita sedang menjalani ibadat puasa, yang antara metlamatnya adalah untuk membentuk insan yang bertaqwa, ada baiknya dibincangkan secara ringkas mengenai taqwa, sekurang-kurangnya untuk memberi gambaran umum mengenainya.

Pengertian:
Terdapat ungkapan yang berbagai bagi menjelaskan pengertian taqwa itu, namun ia merujuk kepada pengertian yang satu iaitu seseorang hamba mengambil perlindungan dari kemurkaan Allah dan azabNya dengan melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi laranganNya.

Ibnu Rejab berkata: Taqwa pada asalnya adalah seseorang menjadikan pelindung antaranya dengan perkara yang ditakuti sebagai perisai. Hamba yang berbertaqwa kepada Tuhannya ialah hamba yang menjadikan antaranya dengan apa yang ditakuti dari Tuhannya dari kemurkaan,kemarahan dan balasanNya suatu pelindung iaitu dengan mengerjakan ketaatan dan menjauhi bermaksiat kepadaNya.


Ibn al-Qayyim pula berkata: Hakikat taqwa itu adalah mengerjakan taat dengan penuh keimanan dan pengharapan samada perintah atau larangan, melakukan apa yang diperintah dalam keadaan beriman dengan apa yanag diperintah dan membenarkan janjinya, juga meninggalkan apa jua yang dilarang dalam keadaan beriman akan larangan itu dan membenarkan amaran serta ancamanNya.
Talaq bin Hubayb perkata: Apabila berlaku fitnah padamkanlah dengan taqwa. Lalu ada yang bertanya:Apakah taqwa: Jawabnya: Mentaati Allah dengan nur Allah dan mengharapkan ganjaran pahala dari Allah dan meninggalkan maksiat dengan nur Allah takutkan balasan dari Allah. Inilah ungkapan terbaik mengenai batasan taqwa.
Abdullah bin Mas`ud berkata semasa menjelaskan ayat
(اتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ( آل عمران:102]
berkata: Taat tidak derhaka, ingat jangan lupa, syukur bukan kufur. Dan diperjelaskan oleh Ibn Rejab dengan mengatakan mensyukuri Allah itu merangkumi semua ketaatan, adapun maksud dari ingat dan tidak lupa ialah seseorang hamba mengingati Allah dengan hatinya akan semua perintah Allah dalam segala gerak dan diamnya serta perkataannya.

Amir al-Mu`minin Umar bin al-Khattab telah bertanya Ubay bin Kaab: Apakah taqwa? Ubay menjawab: Ya Amir al-Mu`minin! Pernahkah anda melalui jalan yang ada padanya duri? Jawab Umar: Ya! Ubay bertanya lagi: Apakah yang anda lakukan? Saya akan angkat kaki saya dan akan melihat tempat yang akan saya akan pijakkan kaki dan beringat-ingat bimbang kaki saya akan terpijak duri itu. Jelas Ubay: Itulah taqwa!

Amir al-Mu`minan Ali bin Abi Talib KWJ juga ditanya mengenai taqwa lalu jawabnya: Takut kepada Allah, beramal dengan apa jua yang diturunkan, redha dengan agihan rezeki yang sedikit, bersedia untuk hari keberangkatan (kematian).
Beliau juga berkata: Meletakkan diri dalam perkara yang diperintah dan mengelakkan diri dari perkara yang terlarang.

Al-Khusyairi: Hakikat taqwa ialah berlindung dari azab Allah dengan melakukan ketaatan.

Al-Jurjani: Maksud taqwa dalam ketaatan ialah ikhlas, maksud taqwa terhadap maksiat ialah menjauhinya dan berwaspada.
Beliau juga berkata: Taqwa bermakna menghindarkan segala perkara yang menjauhkan diri dari Allah.

Al-Fairuz Abadi: menjaga diri dari sesuatu yang mendatangkan dosa. Kesempurnaan takwa dengan meninggalkan sebahagian dari perkara yang harus dan perkara yang boleh memudaratkan agama.

Tempat taqwa adalah di hati akan tetapi bukti dari apa yang ada dihati adalah tindakan zahir. Dengan itu mereka yang mendakwa ia bertaqwa sedangkan amalannya bertentangan dengan perkataannya, ternyata ia berdusta.

Kepentingan Taqwa:

Peri pentingnya taqwa begitu ketara sekali apabila Allah SAW telah berpesan dengannya untuk semua makhluknya, yang awal dan yang akhir. FirmanNya:
وَلَقَدْ وَصَّيْنَا الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ وَإِيَّاكُمْ أَنِ اتَّقُواْ اللَّهَ وَإِن تَكْفُرُواْ فَإِنَّ لِلّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ وَكَانَ اللَّهُ غَنِيًّا حَمِيدًا
Dan demi sesungguhnya, Kami telah perintahkan orang-orang yang diberi Kitab dahulu daripada kamu, dan juga (perintahkan) kamu, iaitu hendaklah bertaqwa kepada Allah; dan jika kamu kufur ingkar, maka (ketahuilah) Sesungguhnya Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Surah al-Nisa: 131).

Malah ia juga merupakan pesanan para Rasul (`alaihim al-salam). Perhatikan ayat-ayat berikut:

كَذَّبَتْ عَادٌ الْمُرْسَلِينَ(123)إِذْ قَالَ لَهُمْ أَخُوهُمْ هُودٌ أَلَا تَتَّقُونَ

(Kaum `Ad telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka). Ketika saudara mereka - Nabi Hud, berkata kepada mereka: "Hendaknya kamu bertaqwa dengan mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.).(Surah al-Syu`ara`: (123-124).

Firman Allah:

كَذَّبَتْ ثَمُودُ الْمُرْسَلِينَ(141)إِذْ قَالَ لَهُمْ أَخُوهُمْ صَالِحٌ أَلَا تَتَّقُونَ

Kaum Thamud telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka).Ketika saudara mereka - Nabi soleh, berkata kepada mereka: "Hendaknya kamu bertawa dengan mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.(Surah al-Syu`ara: 141-142).
Firman Allah:

كَذَّبَتْ قَوْمُ لُوطٍ الْمُرْسَلِينَ(160)إِذْ قَالَ لَهُمْ أَخُوهُمْ لُوطٌ أَلَا تَتَّقُونَ

Kaum Nabi Lut telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka).Kketika saudara mereka - Nabi Lut, berkata kepada mereka: "Hendaknya kamu bertaqwa dengan mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.(Surah al-Syu`ra’: 160-161);

Firman Allah:

كَذَّبَ أَصْحَابُ الْأَيْكَةِ الْمُرْسَلِينَ(176)إِذْ قَالَ لَهُمْ شُعَيْبٌ أَلَا تَتَّقُونَ

(Penduduk "Aikah" telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka). Ketika Nabi Syuaib berkata kepada mereka: "Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya. (Surah al-Shu`ra’: 176-177).
Firman Allah:

وَإِذْ نَادَى رَبُّكَ مُوسَى أَنْ ائْتِ الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ(10)قَوْمَ فِرْعَوْنَ أَلَا يَتَّقُونَ

(Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu menyeru Nabi Musa: "Hendaklah engkau mendatangi kaum yang zalim, iaitu kaum Firaun; tidakkah mereka mahu bertaqwa? (Surah al-Syu`ra’: 10-11).



Malah ia juga wasiat dan pesanan Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Sada bin `Ajlan al-Bahili dimana Rasulullah SAW berpesan dalam Khutbah Haji Perpisahan. Sabdanya:

{ اتقوا ربكم وصلّوا خمسكم، وصوموا شهركم، وأدّوا زكاة أموالكم، وأطيعوا أمراءكم، تدخلوا جنة ربكم }.

“Bertaqwalah kepada Tuhan kamu, solatlah lima waktu kamu, berpuasalah (bulan Ramadhan) kamu, tunaikanlah zakat hartamu, taatilah pemerintah kamu lalu masuklah syorga Tuhanmu”.

Dalam hadith yang diriwayatkan dari Irbadh bin Sariyah Rasulullah SAW juga pernah bersabda:
أوصيكم بتقوى الله

“Saya berpesan kepada kamu dengan bertaqwa kepada Allah”

Malah sudah menjadi tradisi di kalangan para sahabat dan generasi selepas mereka berpesan dengan takwa ini juga kepada anak-anak mereka.
Malah taqwa adalah sebaik-baik pakaian. Firman Allah:

وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ

Dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). (Surah al-A`raf:26)


Malah ia juga adalah sebaik-baik-baik bekalan.Firman Allah:

وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى وَاتَّقُونِي يَا أُوْلِي الْأَلْبَابِ

Sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa (dengan memelihara diri) dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).

Rasulullah SAW bersabda:

ثلاث مهلكات ، و ثلاث منجيات ، فقال : ثلاث مهلكات : شح مطاع ، و هوى متبع ، و إعجاب المرء بنفسه . وثلاث منجيات : خشية الله في السر و العلانية ، و القصد في الفقر و الغنى ، و العدل في الغضب و الرضا
“Tiga perkara yang membinasakan dan tiga perkara penyelamat: Sifat kikir yang dipatuhi, hawa nafsu yang dituruti, kagum dengan diri sendiri; Tiga penyelamat ialah takutkan Allah secara rahsia dan terang-terangan, an dan berhemat semasa fakir dan senang, adil semasa marah dan redha. (Silsilat al-Sahihah, 1802)

Rasulullah SAW juga ada bersabda:
أتّقِ اللّه حيثُما كنتَ وأتبِع السيئةَ الحسَنَة تَمحُها
“Bertaqwalah kepada Allah dimana sahaja kamu berada, susulilah keburukan dengan kebaikan, necaya ia dapat memadamkannya”.

Menyusul: Bagaimana jngin menjadi muttaqin?

Monday, August 2, 2010

Menjelang Ramadhan

اللهم بارك لنا في شعبان وبلغنا رمضان
Ya Allah berkatilah kami di Bulan Sha`ban dan sampaikanlah kami ke Bulan Ramadhan

Cadangan Perancangan bagi menghadapi Ramadhan:
Motto:
Saya akan jadikan Ramadhan ini lebih baik dari Ramadhan terdahulu:
Objektif:
Imam yang mantap, kefahaman yang luas dan fizikal yang sihat


Pertama: Persiapan rohani dan amali bagi menghadapi Bulan Mulia.

Berdoa dengan sebelum kedatangan Ramadhan antara doa yang ma`thur dari nabi adalah:
)اللهم بارك لنا في شعبان وبلغنا رمضان).
“Ya Allah berkatilah kami di Bulan Sha`ban dan sampaikanlah kami ke Bulan Ramadhan”



Azam yang perlu ditanam sebelum masuknya Ramadhan
Dalam satu hadith Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
(إذا تحدث عبدي بأن يعمل حسنة فأنا اكتبها له حسنة)

(Apabila seorang hambaKu berazam untuk melakukan kebaikan akan dicatatkan baginya kebaikan.
:

Diantara azam atau niat yang perlu ditanam sebelum menghadapi bulan Ramadhan ialah:
1. Azam untuk khatam al-Qur`an beberapa kali dengan penuh perhatian dan taddabur.
2. Niat untuk bertaubat nasuha dari semua dosa-dosa lampau.
3. Berazam untuk menjadikan bulan ini sebgai titik mula dan permulaan bagi amal saleh untuk selama-lamanya dengan izin Allah.
4. Berazam untuk mengerjakan sebanyak mungkin kebaikan, sekaligus mendapat ganjaran yang berlipat ganda.
5. Berazam untuk memperbetulkan pekerti dan akhlak dan berurusan secara baik dengan semua orang.
6. Berniat untuk berkerja untuk agama dan menyebarkannya di kalangan manusia.
7. Berniat untuk menyediakan perancangan yang dipenuhi dengan ibadat dan memberi komitmen yang penuh terhadapnya.
Telaah Iman: Iaitu menelaah buku-buku yang khusus berkaitan dengan bulan yang mulia ini, agar jiwa akan tenang dengan sentuhan rohani yang tinggi pada bulan ini.
• Pilihlah apa-apa buku yang berkaitan dengan Ramadhan untuk mendalami Fiqh mengenai puasa.
• Berpuasa sunat dalam bulan Ramadhan sebagai pra Ramdhan. Nabi SAW sebagaimana yang diceritakan oleh Ummu al-Mu`minin `Aishah banyak berpuasa pada Bulan Sya`ban. Namun begitu jangan berpuasa paha hari terahkhir Sya`ban.
• Suburkanlah kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan, dimana Bulan Ramadhan adalah bulan pengampunan dosa, Malam al-Qadar, bulan dimana Malaikat berdoa agar orang yang berpuasa diampuni Allah dan gandaan pahala di bulan Ramadhan. Ini semua akan menjadi pendorong dalaman yang kuat sebagai persiapan menghadapi Ramadhan.
Untuk melaksanakan telaah ini, lakukanlah perkara-perkara berikut:
• Mendengar info mengenai Ramadhan dari berbagai medium seperti kaset, cd dan lain-lain sebelum menjelangnya Ramadhan. Jika digunakan
• Menelaah ayat-ayat al-Qur`an berkaitan puasa dan meneniti tafsiran yang telah dibuat oleh para ulama terhadap ayat-ayat berkenaan.
• “Duduk bersama kami menghayati Ramadhan” Motta sebelum Ramadhan ia merupakan program duduk bersama personaliti ulama dan ilmuan dengan tujuan membincangkan bersama mereka bagaimana menghayati Ramadhan seperti selayaknya. Ia boleh diatur terlebih dahulu dengan mereka yang berkenaan. Majlis sebegini adalah majlis menyemarakkan iman yang boleh memberi kesan yang sangat baik bagi persiapan Ramadhan.
• Pelajari fiqh ramadhan (adab dan hukum) melalui majlis ceramah, kulliah pengajian di masjid dan selainnya.

Langkah-langkah praktikal:
• Memperuntukkan sejumlah tertentu dari pendapatan bulan bulan ini untuk program program memakmurkan Ramadhan, seperti:
i. Infaq Ramadhan.
ii. Mencetak buku, risalah dan bahan-bahan penerbitan untuk disebarkan kepada masyarakat setempat.
iii. Menyediakan pek Ramadhan yang berupakan makanan untuk diagih-agihkan kepada fakir miskin dari awal bulan Ramadhan hingga ke penghujungnya.
iv. Menunaikan umrah pada bulan Ramadhan bagi yang mampu kerana Rasulullah SAW bersabda: Umrah pada bulan Ramadhan menyamai Haji. Dalam satu riwayat “seperti berhaji bersamaku”.

Menyusul: Program Harian Ramadhan.

PUASA MENURUT SUNNAH

Pendahuluan:


Allah swt telah menjadikan manusia untuk beribadat atau mengabdikan diri kepadaNya. Firman Allah:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surah al-Dhariyat: 56).



Ibadat pula tidak akan diterima oleh Allah melainkan setelah memenuhi cara pelaksanaan yang betul menurut syariat, ia tidak boleh dilakukan mengikut selera sendiri sahaja. Rasulullah (s.a.w.) telah diutuskan untuk menjadi pembimbing dan role model untuk umat Islam.Firman Allah:

Sebagai contoh urusan ibadat Rasulullah (s.a.w.) telah memerintahkan supaya mengambil contoh dari beliau, Mengenai solat baginda bersabda:

صلوا كما رأيتمونى أصلى
(Bersolatlah sebagaimana kamu melihat aku solat).

Mengenai haji, baginda bersabda:

خذوا عنى مناسككم
(Ambillah dariku ibadat hajimu).

Dengan itu, puasa juga tidak terkecuali. Seseunggunhnya amalan atau ibadat hanya akan diterima setelah memenuhi dua syarat:

i. Dikerjakan dengan ikhlas.
ii. Mengikut Rasulullah (s.a.w.).


Kertas ini akan menjelaskan secara rengkas berkaitan puasa bersumberkan kepada sunnah Rasulullah (s.a.w.).





Hakikat Puasa:

1. Kaitan rapat antara puasa dengan iman yang sebenar kepada Allah.

Dalam Islam ada dua bentuk ibadat; zahir dan rahsia. Puasa termasuk dalam ibadat yang tidak dapat dikesan secara zahir, dengan sesiapa sahaja boleh tidak berpuasa jika ia mahu. Ia adalah hubungan hati secara langsung antara hamba dan Tuhannya. Kesanggupan seseorang terus berpuasa dalam keadaan ia boleh berbuka bila-bila masa sahaja jika ia mahu sebagai bukti yang paling nyata yang adanya kenyakinan dihatinya yang Allah mengamatinya samada dalam keadaan terang atau sulit. Ini sekaligus adalah tarbiah bagi pemantapan iman yang jitu kepada Allah.

Inilah rahsia iman dalam kebanyakan ibadat dalam rangka untuk bertaqarrub kepada Allah. Perhati sahaja kepada keperluan membersihkan diri dan wudu` dalam solat, ia tetap dilakukan walaupun jika ia tidak berbuat demikian, orang lain tidak mengetahuinya. Ia dilakukan kerana menyakini yang Allah sentiasa mengawasinya. Begitu juga bacaan sepanjang solat yang dilakukan secara sirr sehingga orang yang paling hampirpun sukar mendengarnya. Kalau tidak kerana keyakinannya yang Allah mengetahui setiap ungkapan di lidah, serta lintasan dan bisikan dihati. Malah diyakini semuanya ada dalam ilmu Allah. Firman Allah:


(Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi – Surah Thaha:7).


2. Mendidik hamba sentiasa mengintai kehidupan akhirat.

Orang yang berpuasa sanggup meninggalkan perkara duniawi yang sentiasa dilakukan dalam kehidupan seharian semata-mata mengharapkan ganjaran akhirat dari Allah. Perhitungannya adalah untuk rugi mengikut kacamata akhirat. Sanggup meninggalkan makan, minum dan segala kelazatan di siang Ramadhan dan sunggup menunggu balasan dari Allah di Akhirat. Ini sekaligus memantapkan keyakinan terhadap akhirat di hati mereka yang berpuasa hingga ke tahap sanggup meninggalkan segala kelazatan yang sentiasa dinikmatinya. Ini adalah suatu keadaan yang sangat istimewa dan tinggi nilainya.

Situasi yang sebaliknya bagi mereka yang meletakkan dihadapannya dengan penilaian duniawi, ia memandang puasa adalah satu penderaan dan halangan baginya untuk menikmati kelazatan duniawi.

Puasa disamping kelebihan yang dapat dicapai dari aspek keduniaannya seperti kesihatan fizikal, terdapat juga elemen kerohaniannya iaitu keseronokan patuh kepada Allah, rasa bahagia dan dada yang lapang dengan iman.

Berbeza sama sekali dengan mereka yang menilai puasa dengan penilaian material keduniaan yang melihat puasa adalah penghalang dan penderaan untuknya dimana kemahuannya dibataskan oleh kewajipan ini.

3. Penyerahan sepenuhnya kepada Allah.

Puasa sebenar melatih hamba akan kepatuhan yang sepenuhnya. Patuh dalam menjauhkan makan dan minum di waktu siangnya tetapi mereka makan dan minum bila malam tiba, semuanya kerana patuh kepada perintah Allah:

(Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), Iaitu waktu fajar. (al-Baqarah: 187)

Bila naik fajar mereka, mereka menahan diri dari makan dan segala perkara yang boleh membatalkan puasan kerana perintah Allah:


(Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).(al-Baqarah: 187).

Setiap muslim dilatih supaya patuk kepada perintah Allah, bila diperintahkan supaya makan mereka makan, bila ditegah dari makan maka mereka menahan diri merka dari makan dan minum. Elemen ini turut terdapatam ibadat-ibadat laoin seperti solat dan haji.

4. Institusi pendidikan umat.

Ini jelas apabila ibadat puasa itu dilaksanakan dan lengkongan yang semuanya berpuasa. Inilah perbedaan yang ketara antara puasa sunat dan puasa wajib. Setiap anggota masyarakat merasakan kebersamaan antara mereka dengan itu ia akan dapat memudahkan pelaksaannya kerana semuanya berbuat sedemikian.

Hakikatnya, Islam begitu mengambilberat terhadap usaha mengislahkan masyarakat.Walaupun berlaku perlanggaran terhadap ajaran Allah di sepanjang masa termasuk di zaman awal yang penuh dengan keistimewaan. Namun tidak wajar samasekali jika berlaku perlanggaran secara terang-terangan. Ini akan merosakkan masyarakat. Adalah sulit bagi individu yang menggharapkan kebaikan untuk kembali ke jalan yang benar dalam keadaan suasana persekitaran menekannya. Wujudnya suasana yang selesa ini akan memudahkan pelaksanaan syariat itu sendiri.

Menyedari realiti inilah pihak musuh yang ingin meranapkan umat Islam menggunakan cara ”pancaran secara langsung”. Ternyata cara ini berjaya mengundang bahaya kepada akidah, pemikiran, akhlak dan budaya umat Islam. Jelas pendidikan masyarakat adalah antara matlamat Islam, puasa adalah salah satu dari pendekataanya.

Kelebihan puasa:

Terdapat ayat yang merangsang ibadat puasa sebagai cara untuk bertaqarrub kepada Allah dan menyatakan kelebihannya, seperti:


(Dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar – Surah al-Ahzab: 35)

Firman Allah:

(Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui – Surah al-Baqarah: 184).

Malah Rasulullah (s.a.w.) menyatakan yang puasa itu dapat meredakan gelora nafsu berdasarkan kepada pesanan baginda kepada sekumpulan anak muda yang belum mampu untuk berkahwin. (Bukhari 5065), Muslim (1153).. Jelas dari kenyataan Rasulullah itu puasa boleh menahan dari rangsangan syahwat yang biasanya membawa ke neraka. Dengan itu puasa menjadi dinding antara orang yang berpuasa dan neraka. Perubatan Nabi s.a.w. membuktikan yang puasa adalah penawar yang mujarrab bagi fenomena yang biasanya terdapat pada kalangan remaja.


Disamping itu ada hadith yang secara jelas menyatakan yang puasa adalah perisai. Sabda Rasulullah:


”Puasa adalah perisai yang berlindung dengan seorang hamba (Allah) dari neraka. (Sahih al-Targhib (970). Dalam satu hadith yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidaklah berpuasa ana-mana hamba yang satu hari pada jalan Allah kecuali akan dijauhkan dengan itu mukanya dari neraka 70 musim (Bukhari (2840), Muslim (1400).

Malah Rasulullah s.a.w. juga bersabda kepada Abu Umamah yang telah berkata kepadanya: Wahai Rasululllah! Tunjukkanlah kepada saya satu amalan yang memasukkan saya dengannya ke syorga, sabdanya: Atas kamu puasa, ia tiada tandingannya. (Sahih Sunan al-Nasaii 2097). Jelas yang puasa merupakan laluan ke syorga. Tidak cukup dengan itu ada pintu yang dikhususkan untuk mereka yang berpuasa memasuki syorga iaitu Pintu al-Rayyan.(Bukhari 1797 dan Muslim 1152).


Puasa juga akan mensyafaat kepada tuannya pada Hari Kiamat. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Al-Qur`an dan puasa akan mensyafaat bagi hamba pada Hari Kiamat..(Ahmad 2/174, al-Hakim 1/554)

Malah puasa juga merupa pembersih bagi dosa dan kesalahan sebagaimana ditegaskan oleh Rasulullah (s.a.w.): ”Fitnah bagi lelaki dari keluarga, harta, jirannya akan terhapus oleh solat, puasa dan sedekah” (Bukhari 1797 dan Muslim 144).

Dalam hadith lain pula: ”Solat lima waktu, Hari Jumaat ke Jumaat yang satu lagi dan Ramadhan ke Ramadhan yang berikutnya merupakan pembersih bagi dosa antaranya selama mana ia menjauhi dosa besar” (Muslim 233).

Dengan berpuasa seseorang akan merasa kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah s.a.w.: Bagi yang berpuasa ada dua kegembiraan: gembira semasa berbuka dan semasa bertemu Tuhannya”. (Bukhari 1085, Muslim 1151).


Serba serbi mengenai puasa:

i. Penentuan Ramadhan:

Bermulanya Ramadhan ditentukan samada dengan genapnya bulan Sya’ban 30 hari atau dengan kelihatannya anak bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Jika kamu melihatnya berpuasalah, jika kamu melihatnya berbukalah..(Bukhari 1801; Muslim 1080-1081).

ii. Niat:

Niat tempatnya dihati. Bila dipastikan telah bermula bulan Ramadhan, wajib bagi setiap Muslim berniat untuk berpuasa pada malamnya berdasarkan sabda Rasulullah (s.a.w.): ”Siapa yang tidak berniat untuk puasa pada malamnya sebelum fajar, maka tiadalah puasa untuknya” (Ibn Majah 1700; Tirmidhi 730; Nasaii 2331, Abu Daud 2454).

Ada setengah kalangan yang was-was dalam niat, ia adalah was was yang bahaya, kesemua adalah gangguan yang tidak selayaknya dilayan. Sepatutnya bila masuk sahaja bulan Ramadhan, ia bertekad dalam dirinya untuk berpuasa sebulan penuh, itu sudah memadai. Niat boleh dilakukan bila-bila sahaja sepanjang malam itu sebelum naik fajar sadik.


iii. Sahur:

Firman Allah:


Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (al-Baqarah:183).

Di peringkat awal hukumnya adalah sama dengan apa yang ditentukan untuk ahli kitab iaitu tidak makan, minum dan bersama dengan isteri selepas tidur. Namun ia dimansukhkan dimana Rasulullah (s.a.w.) memerintahkan supaya bersahur bagi membezakan antara puasa umat Islam dengan ahli kitab. Sabdanya: Beza antara puasa kita dengan puasa ahli Kitab adalah makan sahur (Sahih al-Jami’ 4207).

Puasa itu berkat kerana ia mengikut sunnah, memberi kekuatan untuk berpuasa dan dengan bersahur ia membezakan dengan puasa ahli kitab. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Bersahurlah kerana pada sahur itu keberkatan (Bukhari 1923;Muslim 1095),

Diantara keberkatan yang besar ialah Allah dan melaikat berdoa kepada mereka yang bersahur.

Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sahur itu makannya berkat janganlah kamu tinggalkan walaupun hanya dengan seteguk air, maka sesungguhnya Allah dan Malaikat akan berdoa ke atas mereka yang bersahur.(Sahih al-Targhib 1062).


Sesudah itu sempurnakan puasa sehinggalah terbenamnya matahari. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Apabila malam mendatang dari sini dan siang mundur dan terbenam matahari, maka berbukalah orang yang berpuasa (Bukhari 1954; Muslim 1100).


iv. Iftar:

Sabda Rasulullah (s.a.w.): Senentiasa agama itu zahir selama mana manusia bersegara untuk berbuka kerana Yahudi dan Nasrani melewatkannya (Sahih al-Targhib 1067).

Sabda Rasulullah (s.a.w.): Senentiasa manusia itu baik, selama mana manusia bersegera untuk berbuka.(Bukhari 4/173; Muslim 1093).

Iman Ibn Hajar berkata: Di antara bid’ah yang munkar di zaman ini apabila dilaungkan azan kedua satu pertiga jam sebelum fajar dengan sangkaan berikhtiat (beringat) dalam ibadat, mereka juga menarik masa sehingga tidak dilaungkan azan kecuali setelah terbenam matahari satu darjah – dengan sangkaan untuk mempastikan masa – lalu terlewatlah berbuka dan menyegerakan sahur dan menyalahi sunnah, dengan demikian kuranglah kebaikan dan bertambahalah keburukan..(Fath al-Bari 4/199).

Menurut Anas r.a. Rasulullah s.a.w. berbuka dengan beberapa biji rutab sebelum solat, jika tiada rutab dengan tamar, jika tiada tamar dengan air. (Abu Daud 2357; Ahmad 3/164; Tirmidhi 696; Irwa` al-Ghalil, 5930).

Bagi orang yang berpuasa, sewaktu berbuka adalah waktu dimana doa tidak akan ditolak. Sabda Rasulullah (s.a.w.): ”Bagi orang yang berpuasa waktu berbukanya doa tidak ditolak” (Irwa al-Ghalil, 903) . Digalakkan semasa berbuka seseorang itu berkata:

ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله

(Pergi sudah dahaga, basahlah peluh dan tetaplah ganjaran insha Allah (Abu Daud 2357, al-Daraqutni 2/157).

Inilah doa yang paling sahih datang dari Nabi s.a.w. ketika berbuka, namun orang yang berpuasa boleh berdoa semasa berbuka dengan doa yang dikehendakinya dari kebaikan dunia dan akhirat.

Perkara yang mesti dijauhi oleh orang yang berpuasa:

Rasulullah (s.a.w.) sentiasa menekankan betapa perlu seorang Muslim menjaga akhlaknya dan menjauhi perkara-perkara yang keji sepanjang masa. Sudah tentu larang dari melakukan perkara yang keji itu lebih ditekanlah semasa melaksanakan ibadat Ramadhan. Terdapat ancaman yang keras dari Rasulullah (s.a.w.) dari melakukan amalan yang buruk semasa berpuasa. Sabdanya:

Berapa ramai mereka yang berpuasa tidak memperolehi apa-apa dari amalan puasanya itu melainkan lapar dan dahaga (Sahih al-Targhib 1076-1077).


Beberapa kelonggaran semasa berpuasa:


1. Bangun pagi dalam keadaan berhadth besar:
Dari Aishah r.a. dan Ummu Salamah katanya: Rasulullah s.a.w. bangkit pada waktu subuh dalam keadaan berhadith besar bukan mimpi lalu baginda mandi dan terus berpuasa.(Bukahri 1930; Muslim 1109).

2 Bersugi:

Bersugi disyariatkan khususnya disituasi yang terdapat nas mengenai iaitu:

i. Semasa ingin solat.
ii. Wudu`.
iii. Masuk ke Rumah.
iv. Bangkit dari tidur.
v. Membaca al-Qur`an dan
vi. Semasa berlaku perubahan bau mulut.

3.Berkumur dan memasukkan air ke hidung:

Rasulullah berkumur dan memasukkan air ke hidup semasa berpuasa tetapi baginda melarang bagi yang berpuasa melakukannya secara berlebihan. Sabdanya: Berlebihan dalam memasukkan air ke hidung kecuali jika kamu berpuasa (Irwa` al-Ghalil, 90).

4.Bermesra dengan isteri:

Terdapat hadith yang jelas dariu Aishah yang Rasulullah (s.a.w.) mengucup isterinya dan bermesra dengan isterinya namun baginda begitu mantap dalam mengawal dirinya (Bukhari 1927 dan Muslim 1106). Malah Abdullah ibn Umar bin al-‘As meriwayatkan apabila seorang pemuda bertanya mengenainya baginda melarangnya sebaliknya membenarkan bagi orang tua kerana orang tua lebih mampu menjaga dirinya. (al-Sahihah 1606).

5.Berbekam:

Diperingkat awal berbakam adalah antara yang boleh membatalkan puasa, namun ia dimansukhkan bila didapati Rasulullah (s.a.w.) melakakannya semasa baginda berpuasa, seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas. (Bukhari 1939).

6.Memasukkan ubat dengan jarum:

7.Mengecap makanan:

Ibn Abbas berkata: Tidak mengapa merasa cuka dengan lidahnya apa sesuati selama ia tidak masuk ke halkumnya sedang ia berpuasa (Bukhari dalam Fath al-Bari 3/154).

8.Bercelak dan memasukkan ubat ke mata:


5. menjirus air di kepada:

Rasulullah (s.a.w.) ada menjirus air ke kepalanya semasa berpuasa kerana dahaga atau panas (Sahih Abu Daud 2072).

Yang Membatalkan Puasa:

- Makan dan minum dengan sengaja.
- Persetubuhan.
- Muntah dengan sengaja.
- Hayd dan Nifas.
- Suntikan makanan.

Beberapa kesilapan di kalangan orang yang berpuasa:

i. Rajin beribadat hanya pada bulan Ramadhan sahaja,
ii. Membataskan puasa hanya kepada tidak makan dan tidak minum serta tidak bersama dengan isteri di siang ramadhan sahaja tetapi tidak berpuasa dari perbuatan yang haram.
iii. Membataskan perbicaraan mengenai kelebihan Ramadhan terfokus kepada faedah keduniaan semata-mata.
iv. Akhlak yang buruk.
v. Meminimakan aktiviti dengan alasan berpuasa.
vi. Berlebihan dalam jaudah Ramadhan.

Penghayatan Ramadhan:

1. Qiam Ramadhan:

Dinamakan terawih kerana mereka yang bersolat berernti rehat selepas empat rekaat biasanya kerana panjangnya ayat yang dibaca semasa solat. Namun menamakan qiam Ramadhan sebagai terawih tidak pernah wujud di zaman awal, samada semasa rasulullah (s.a.w.) atau semasa sahabat, sebagaimana tidak terdapat dalam amalan Nabi (s.a.w.) berhenti rehat selepas selesai empat rekaat solat. (Lihat: Irshad al-Sari ila Ibadat al-Bari oleh Syeikh Muhammad Ibrahim Shaqrah, hal. 75). Yang terdapat dalam sunnah dan tersebar dikalangan salaf al-salih ialah qiam al-layl antaranya Sabda Rasulullah (s.a.w):

“Sesiapa yang melakukan qiam ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan akan diampunkan bagi dosanya yang lalu (Bukhari 37;Muslim 759).

Qiam Ramadhan disyariatkan dilaksanakan secara berjemaah dan bilangan rekaatnya menurut Aishah adalah 11 rekaat. “Tidaklah Rasulullah (s.a.w.) lebih dalam bulan ramdhan atau selainnya dari 11 rekaat (Bukhari 2013;Muslim 736. Perinciannya boleh diteliti dalam buku Qiam Ramadhan oleh al-Albani.

Perselisihan pandangan dalam bilangan rekaat ini telah diketahui umum. Apalagi merujuk kepada bilangan solat yang dikerjakan oleh para sahabat selepas kewafatan Rasulullah (s.a.w.). Tidak dinyatakan dalam bilangan rekaat yang ditunaikan oleh Ubai bin Kaab, antara 11 atau 13 atau 21. Diandaikan ia dengan melihat panjang dan pendeknya bacaan. Dikatakan mereka membaca surah yang panjang dan berdiri di atas permukaan yang tidak rata sepaanjang qiam.

Semasa Umar bin Abd Aziz menjadi Amir di Madinah belaiu bersolat 36 rekaat yang menurut Imam Malik, ia adalah tradisi yang sudah lama di Madinah.

Imam Shafii berkata: Saya lihat orang ramai solat 39 rekaat di Madinah dan 23 rekaat di Mekah. Katnya lagi: Jika dipanjangkan qiam maka dikurangkan bilangan rekaat, maka ia baik. Jika dibanyakkan sujud dipendekkan bacaan, juga baik. Yang pertama lebih saya gemari.

2. Tilawah al-Qur`an:

Bulan Ramadhan adalah bulan al-Qur`an. Firman Allah:

(Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (Surah al-Baqarah: 185).

Jibril a.s. setiap malam Ramadhan bersama Rasulullah (s.a.w.) bertadarus. Justeru dianjurkan sangat setiap Muslim dapat membaca al-Quran sepenuhnya sekali atau lebih sehingga Imam al-Zuhri berkata: Apabila masuk bulan Ramadhan ia adalah membaca al-Qur`an dan memberi orang makan. Malah Imam Malik berhenti dari membaca hadith dan menumpukan sepenuhnya untuk membaca al-Qur`an. Perlu diingatkan membaca al-Qur`an bukan hanya untuk mengkhatamkan bacaannya sahaja tetapi selayaknya untuk ditadabbur dan difahami kandungannya.

3. Doa:

Rasulullah (s.a.w.) mengeaskan yang orang yang berpuasa adalah satu dari tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka. Dengan itu sangat digalakkan orang yang berpuasa senentiasa membasahkan lidahnya dengan doa sepanjang masa berpuasa. Ini tidak termasuk semasa berbuka yang telah disentuh sebelum ini. Abd Allah bin Umar bin al-`As sering berdoa dengan doa berikut:

اللهم أسألك برحمتك التى وسعت كل شىء أن تغفر لى ذنوبى

Ya Allah! Aku bermohon dengan rahmatMu yang meliputi setiap sesuatu agar Engkau ampuni dosa-dosaku.

4. Infaq pada jalan Allah:

Infaq pada jalan Allah adalah laluan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan laluan ke syorga. Terlalu banyak ayat-ayat dan hadith yang berkaitan dengan infak ini. Nabi (s.a.w.) telah memperlihatkan contoh terbaik. Baginda yang sedia pemuruh bertambah-tambah kemurahan tangannya bagaikan hembusan angin di bulan Ramadhan

5. Umrah di bulan Ramadhan.

Kelebihannya sangat besar sehingga Rasulullah (s.a.w.) bersabda kepada Ummu Sinnan: Apabila datang Ramadhan berumrahlah kamu kerana ia menyamai Haji (Bukhari 1685;Muslim 1349).

6. I’tikaf

Ia adalah amalan Rasulullah (s.a.w.) terutamanya di sepuluh terakhir Ramadhan dan dilakukan setiap tahun sehinggalah baginda wafat.

7. Layl al-Qadar

Kelebihannya jelas dari surah al-Qadar. Waktunya adalah sepuluh terakhir Ramadhan, apabila Rasulullah (s.a.w.) menganjurkan supaya mendapatkannya pada hari-hari tersebut. (Bukari 2020;Muslim 1165). Ada riwayat dinyatakan hari-hari ganjilnya (Bukhari 2017;Muslim 1169).

Rasulullah (s.a.w.) tidak bersama dengan isterinya di hari-hari tersebut dan menumpukan kepada ibadat, dimana dihidupkan malamnya dan dikejutkan ahli keluarganya (Bukhari 2024;Muslim 1174).

Sifat yang disebut oleh Rasulullah (s.a.w.) bahawa malam Layl al-Qadar itu cerah, tidak panas, tidak sejuk, paginya matahari kelihatan lemah dan mengeluarkan cahaya kemerahan (Sahih al-Jami 5475).

8. Zakat Fitrah.
9. Eid al-Fitr.

Penutup:

Ramadhan keseluruhannya adalah musim kebajikan. Justeru peluang yang terbuka ini semestinya direbut dan dimanfaat seoptimumnya. Ini adalah untuk melayakkan seseorang berjaya menjalani sebulan Ramadhan dengan jayanya dan layak untuk meraikan majlis graduasi Madrasah Ramadhan pada awal bulan Syawal.