Tuesday, July 28, 2009

Hukuman sebat antara Islam dan sivil

Keputusan Mahkamah Syariah di Kuantan sebelum ini telah mencetuskan polimek dikalangan banyak pihak. Ada yang menyokong, tidak kurang pula yang menentang. Kalangan yang bercita-cita untuk mengegakkan syariat Islam berpendapat keputusan itu wajar kerana ia selari dengan roh Syariat itu sendiri. Bagi yang menentang pula memberi berbagai alasan termasuk ia adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan, apa lagi yanh dijatuhkan hukum itu adalah wanita.

Dalam kunjungan penulis bersama-sama rombongan Persatuan Ulama Malaysia ke Banda Acheh pada akhir Jun yang lalu, kali dimaklumkan hukuman sebat keatas bagi kesalahan mabuk, berjudi, khalwat dan ajaran sesat telah lama dilaksanajan di sana. Ia adalah dibawah kesalahan ta'zir dalam Undang-undang Jenatah Islam. Dua gambar yang disertakan ini menunjukkan pelaksaan hukuman sebat tersebut. Sila bandingkan pelaksaan itu dengan hukum sebab yang dilaksanakan untuk kesalahan-kesalahan sivil yang saya perturunkan gambarnya bagi foto ketiga dan keempat.
















































































Friday, June 12, 2009

Ibadat hanya sempurna dengan Sunnah

Oleh Idris Musa

UMAT Islam dinasihatkan berpegang teguh dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w jika mahu mendapatkan kesempurnaan beribadat dan tidak terpedaya dengan dakyah pihak tertentu yang memperkecilkannya.Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Sunnah, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Fauzi Deraman, berkata sunnah memainkan peranan penting kerana ia memberikan penjelasan terhadap ayat al-Quran.

Menurutnya, jika tidak kerana sunnah Nabi Muhammad banyak perkara dalam Islam tidak dapat dilaksanakan."Contohnya seorang Muslim tidak dapat mengetahui waktu dan bilangan rakaat solat jika tidak ditentukan sunnah."Begitu juga dengan cara melaksanakan haji, tiada dalam al-Quran secara terperinci, tetapi diterangkan Rasulullah," katanya pada ceramah sambutan Maulidur Rasul di surau The New Straits Times Press (NSTP) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Fauzi berkata, bagi pihak yang mendakwa hanya perlu berpegang kepada al-Quran dan meninggalkan sunnah sudah tentu gagal melaksanakan ajaran Islam dengan sempurna kerana tidak mengetahui cara untuk beribadat. Justeru, katanya, sudah semestinya setiap individu Muslim mengikuti Nabi Muhammad supaya kehidupan beribadat lebih sempurna.Menurutnya, untuk mengikuti Nabi Muhammad sekali gus menjadi umat yang berjaya, setiap orang mesti menepati panduan seperti dibangunkan baginda yang membabitkan semua aspek.

"Pertama, setiap individu kena ada iman atau akidah, kerana apabila tidak ada iman, amalan akan tertolak walaupun beribadat dan bersolat begitu hebat. Aspek ini kena jelas bagi mengelakkan pelbagai masalah. "Tauhid itu senang dan iman itu mudah. Kata seorang ulama kontemporari, iman dalam Islam mudah iaitu beriman pada Allah."Macam mana? Tengoklah biodata Allah seperti diterangkan dalam al-Quran. Misalnya melalui surah al-Ikhlas iaitu surah paling terkenal dan paling pendek, menceritakan mengenai diri Allah."Satu lagi ayat yang popular ialah ayat Kursi. Apabila kita faham ayat yang menceritakan mengenai diri Tuhan itu, kenallah kita terhadap Tuhan," katanya.

Beliau berkata, ilmu yang betul juga amat penting terutama membabitkan elemen halal dan haram, syurga dan neraka."Ilmu yang dipelajari dan dimiliki juga mesti bersepadu dan seimbang supaya seseorang manusia itu tidak hanyut," katanya.

Beliau melahirkan dukacita terhadap sesetengah remaja yang cemerlang dalam akademik sehingga mendapat pujian dan sebutan ramai, tetapi tidak pada keperibadian, malah hancur nilai akhlaknya.Dalam usaha meletakkan diri dan masyarakat menjadi cemerlang, katanya, umat Islam juga perlu mementingkan harta dan kekayaan."Aset, modal dan kekayaan juga perlu. Kaya penting dan dengan sebab itu sahabat nabi ramai yang kaya. "Tetapi apabila ada harta, kenalah membelanjakannya pada jalan yang betul kerana setiap antara kita akan ditanya, ke mana harta dibelanjakan," katanya.
Awasi perangkap laman web anti hadis
Source : Utusan Malaysia On-Line
Tuesday, May 08, 2007

Kebebasan bersuara dan juga konsep dunia tanpa sempadan dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memberi ruang kepada percambahan ilmu.

Namun demikian, hadis atau sunah Rasulullah tidak dijamin akan terpelihara seperti al-Quran. Ia menyebabkan ada usaha pihak tertentu yang menolak hadis sebagai salah satu sumber hukum Islam.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto SHAIFUDIN MOHD. NOR menemu bual pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman untuk mengupas persoalan ini.

UTUSAN: Dalam keghairahan mendalami Islam, apakah panduan untuk mengelak daripada terjebak dalam kumpulan anti hadis?
DR. FAUZI: Belajar atau menuntut ilmu sangat digalakkan dalam Islam. Banyak ayat al-Quran dan juga hadis yang menggalakkan kita menuntut ilmu.

Cuma yang penting ialah kita perlu memastikan siapakah guru kita atau dengan siapa kita nak berguru. Adakah guru itu cukup syarat dengan kata lain mempunyai autoriti atau kepakaran dalam bidangnya terutama yang berkaitan dengan Islam, maka teruskan.

Masalahnya, ada di antara kita yang mudah terpegun, terpesona dan terpengaruh dengan idea golongan tertentu tanpa bersandarkan kepada akademik.

Ada di kalangan masyarakat Islam yang mudah terpesona dengan idea-idea seseorang walaupun tidak mengetahui latar belakangnya terlebih dahulu.

Ini bukan sahaja melibatkan soal anti hadis tetapi juga perkara-perkara yang karut-marut. Sebab itu dalam mempelajari agama, hendaklah kita mencari guru yang layak. Maknanya guru itu perlu memiliki kelayakan yang diiktiraf.

Terdapat laman web khusus yang membicarakan soal Islam yang beroperasi bertopengkan Islam tetapi sebenarnya mengembangkan ideologi anti hadis. Apakah cara membanteras hal ini?
DR. FAUZI: Menggunakan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam perkara ini adalah sangat dituntut. Ini juga adalah bertepatan dengan firman Allah dalam surah Al-Anfaal: 60 yang menyuruh kita mempersiapkan diri menghadapi musuh.

Dalam era hari ini, mempersiapkan diri berhadapan musuh termasuk melengkapkan diri dengan keupayaan menggunakan ICT. Ini termasuklah kepada golongan pendakwah.

Melalui ICT, liputannya lebih meluas. Islam pun tidak pernah memusuhi teknologi tetapi yang kita banteras dan musuhi ialah teknologi yang digunakan bagi tujuan yang tidak baik atau menyesatkan umat. Perbuatan sebegini bukan sahaja membazirkan masa, tenaga tetapi juga buah fikiran.

Ringkasnya, perbuatan golongan anti hadis menyebarkan maklumat menerusi laman web ini tidak sepatutnya berlaku. Ingatlah, kita akan bertanggungjawab di depan Allah di akhirat kelak atas segala perbuatan kita di dunia ini.

Mereka ini sudahlah sesat tetapi menyesatkan orang lain pula.
Alangkah baiknya, jika kepakaran ICT itu digunakan untuk membangunkan umat melalui pengembangan ilmu yang hak dan hikmat.

Oleh itu, pihak berwajib perlu mengawal dan memantau kewujudan laman-laman web begini. Apa guna ada buku yang diharamkan penerbitannya tetapi boleh dimuat turun secara percuma melalui Internet.

Sebab itu, saya mengesyorkan perlu diwujudkan urus setia atau pasukan khas menangani hal ini. Jangan lagi kita bertangguh.

Islam telah menggariskan sumber hukum itu terbahagi kepada al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias. Apakah status golongan yang hanya berpegang kepada al-Quran sahaja?

DR. FAUZI: Menolak hadis bermakna mengingkari perintah Allah supaya kita taat kepada Rasulullah seperti juga taat kepada Allah. Hal ini banyak kali dijelaskan dalam al-Quran. Antaranya: Wahai orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan rasul-Nya. (al-Anfal: 20).

Saya acapkali menjelaskan bahawa perbuatan menolak hadis ialah isu lama yang diberi penjenamaan semula. Sekarang ia dibawa oleh golongan orientalis, dulu oleh fahaman muktazilah.

Hal ini berlaku antaranya akibat pertembungan pemikiran Barat. Mereka ini terikut-ikut kononnya pandangan Barat lebih saintifik sehingga terkeliru.

Menurut ulama terkenal, Dr. Mustaffa Al-Siba’i, anti hadis wujud kerana mereka ini gagal merujuk sumber Islam daripada sumber yang jernih.

Yang kedua, golongan ini ada kaitan dengan rasa terpegun dengan tradisi ilmiah kononnya golongan anti hadis ini lebih liberal, menggunakan logik akal dan sebagainya.

Faktor ketiga berkait dengan rasa bangga apabila mereka dikatakan orang yang berfikiran bebas atau free thinker.

Umat Islam telah diberi amaran agar tidak menyalahi rasul. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya: Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah rasul takut akan ditimpa fitnah cubaan atau ditimpa azab yang pedih. (an-Nur: 63)

Bagi golongan yang menolak hadis ini, bagaimana mereka mahu beramal?
DR. FAUZI: Inilah persoalan besar bagi golongan anti hadis. Sebabnya, dalam kehidupan seharian kalau kita bergantung kepada al-Quran sahaja banyak perkara yang kita tidak tahu. Semua benda asas dijelaskan menerusi hadis.

Tanpa hadis, kita tidak tahu bagaimana hendak menjalankan proses nikah kahwin misalnya. Begitu juga persoalan berkaitan solat.

Di dalam al-Quran sendiri terdapat lebih 40 ayat yang menganjurkan kita merujuk kepada Rasulullah. Maknanya merujuk kepada hadis.

Pandangan mengatakan hadis hanya valid semasa hayat baginda juga adalah tidak tepat. Ini dijelaskan oleh al-Quran: Dan tidaklah yang diucapkan itu menurut kemahuan nafsunya. Ucapan itu hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya). (al-Najm: 3-4)

Bagaimanakah golongan ulama dan ilmuwan Islam dapat membantu dalam berhadapan dengan ‘serangan’ menerusi ICT begini?
DR. FAUZI: Ulama kita pun harus mempunyai kemahiran asas menggunakan ICT. Ini bagi memudahkan mereka menjawab sebarang isu yang dibangkitkan. Jika tidak, ulama akan gagal berperanan sebagaimana sabda Rasulullah, ulama itu adalah pewaris nabi.

Motif golongan anti hadis ini amat jelas. Pertamanya, mereka menyerang Nabi Muhammad. Kedua, adakalanya mereka turut mempertikaikan al-Quran dan ketiga, perbuatan itu turut melibatkan para sahabat baginda.

Apabila ketiga-tiga hal ini dipertikaikan, maka apa lagi yang tinggal kepada umat Islam. Apa yang pasti, usaha mereka yang berjalan sejak dulu ini tidak pernah berhenti.

Dalam hal ini, kita perlu usaha yang kolektif terutama melibatkan pihak berwajib. Seperkara lagi, kalau perlu kita boleh mengadakan dialog tertutup dengan golongan yang ahli. Kalau dialog terbuka, ia tidak akan berhasil menyelesaikan isu ini.

Bekas Timbalan Rektor Universiti al-Azhar, Prof. Dr. Musa Sharin Lashin pernah berkata, golongan yang menolak hadis ini sama seperti menolak nabi dan menolak syariat Islam.

Pepatah Inggeris menyebut, don't judge a book by its cover. Tetapi dalam masyarakat kita, kalau berjubah, berserban pasti hebat ilmu agama. Benarkah penilaian sedemikian?
DR. FAUZI: Islam tidak ada uniform khas. Jangan kita tertipu dengan imej luaran. Sebaliknya kita kena tengok apa yang individu itu kata, bukannya siapa yang berkata. Selagi ia bertepatan dengan al-Quran dan hadis, bolehlah ia diterima. Jika sebaliknya, walaupun orang itu memakai jubah atau berserban besar pun, jangan kita terima kata-katanya bulat-bulat.

Memanglah ulama dahulu seperti Imam Malik apabila hendak bersyarah tentang ilmu hadis, beliau akan berpakaian cantik. Itu adalah antara adab. Cuma kita jangan terpesona dengan mazahir. Tidak semestinya berjubah itu orang yang mahir ilmu agama.

Dalam sejarah Islam, gerakan anti hadis bukanlah perkara baru. Namun, soalnya mengapa golongan ini terus mendapat tempat dalam sesetengah masyarakat.

DR. FAUZI: Sebab utamanya ada di antara ilmu Islam yang tidak menyeluruh. Kedua, mahu jalan singkat menuntut ilmu agama. Walhal tidak ada jalan pintas dalam menuntut ilmu.

Yang ketiga, terpesona dengan pendekatan oleh golongan yang anti hadis.
Islam tidak menolak logik tetapi ia perlu dibatasi oleh wahyu. Malangnya, golongan khalayak yang kurang maklumat tentang Islam akan melihat kepada apa yang sesuai dengan mereka. Ini secara tidak langsung menyebabkan mereka masuk perangkap.

Thursday, June 11, 2009

Multaqa Alumni Universiti Arab Saudi di Madinah


Persidangan Alumni Universiti-Universiti Arab Saudi yang ke-3 di Universiti Islam Madinah (UIM) telah dianjurkan pada 11-13 Mei 2009 bersamaan 16-18 Jumadul Ula 1430 Hijrah. UIM telah menjemput tokoh-tokoh dari negara-negara Asia yang pernah menuntut di universiti-universiti Arab Saudi termasuk dari Malaysia.

Malaysia telah diwakili oleh Dr. Johari Mat (M.A Riyadh), Dr. Ahmad Najib Abdullah (B.A, M.A, Ph.D Madinah), Dr. Habiburrahman Ibramsa (B.A Madinah), Dr. Fauzi Deraman (M.A Riyadh), Dr. Ashraf Hashim (B.A Madinah).

Persidangan ini turut menjemput wakil-wakil dari negara-negara Asia yang lain seperti Dr. Muhamad Hidayat Nur Wahid (Ketua Majlis Musyawarah Rakyat Republik Indonesia, kalau di Malaysia dipanggil Speaker Parlimen seperti Tan Sri Pandikar Amin), Dr. Ahmad Hulayil (bekas Menteri Waqaf Jordan, kini sebagai Qadhi al-Qudhah** Jordan), menteri, duta, pensyarah, imam, dan lain-lain lagi yang mewakili negara masing-masing dari seluruh asia.

Pada sebelah malamnya pula selepas berlangsungnya majlis penutup alumni, PPM telah menjemput tokoh-tokoh Malaysia ke rumah PPM untuk mengadakan perjumpaan bersama dengan para Malaysia yang menuntut di Madinah. Kesemua tokoh telah diminta untuk memperkenalkan diri dan memberikan sedikit nasihat.

Di salin daripada blog Dr. Nur Izah di Madinah.

Bersama Pelajar Malaysia di Madinah





Foto ini disalin daripada blog pelajar di sana iaitu, Habib Mustafa Madinah.

Friday, May 22, 2009

buku baru


Alhamdulillah karya terbaru saya Ulum Al-Hadith yang siap dicetak dan sudah mula diedarkan. Buku terbitan syarikat Warisan Nabawi Enterprise , urusterbit buku terbaru ini dijalankan oleh Book Pro.



Diperturunkan sedikit sinopsis buku ini buat tatapan semua. Buku ini menerangkan kedudukan sebenar tata letak sunnah Muhammad s.a.w. di dalam syariat Islam. Ia mampu menangkis fahaman anti hadith dan mengekalkan status quo sunnah Rasul s.a.w. sebagai sumber yang mendasari syariat dan hukum Islam.
Tulisan yang membahaskan ilmu-ilmu berkaitan sains hadith atau ulum al-hadith. Bagi memurnikan khilaf yang wujud berkaitan ilmu hadith, buku ini dapat memperincikan perbahasan yang dibawa oleh para ulama’ silam dan sekarang. Penelitian yang tuntas dan sederhana memberi gambaran yang jelas kepada sesiapa yang membelek setiap halaman buku ini.
Buku ini juga mampu memberi maklumat awal tentang gambaran sebenar ilmu-ilmu berkaitan sunnah Rasul s.a.w. yang disusun atur oleh para ulama’ silam dan semasa. Disenaraikan bersama contoh-contoh yang mudah difahami di samping huraian yang jelas dan terang sebagai mana yang digariskan oleh ulama’ hadith.
Boleh menjadi rujukan sama ada di peringkat menengah, pengajian tinggi hatta masyarakat awam sekalipun. Sesuai menjadi buku panduan untuk pelajaran yang berkaitan hadith, tafsir, fiqh dan sebagainya.

Monday, September 1, 2008

Bagaimana Menyambut dan Menjalani Ibadat Ramadhan?

Ramadhan datang lagi. Selamat datang diucapkan kepada tetamu istimewa yang tetap akan berlalu meninggalkan kita. Bulan Ramadhan yang menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda. Syaitan dirantai dan dibuka pintu Syorga dan ditutup pintu Neraka. Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan kebaikan dan keberkatan.

Selayaknya sebagai Muslim kita bersedia menyambut kedatangannya. Seorang musafir biasanya bersedia sebelum memulakan perjalanan, seorang pekerja bersedia untuk menjalani kursus dan latihan yang berkaitan dengan tugasnya, sebagaimana Syaitan juga – sebelum dirantai – telah mengerah bala tenteranya untuk mempedaya setiap Muslim dengan berbagai cara dan pendekatan.

Dengan itu setiap Muslim sewajarnya berlumba-lumba untuk merebut semua peluang yang tersedia di sepanjang Bulan Ramadhan ini. (Untuk yang demikian itu hendaknya orang berlumba-lumba) (Surah al-Mutaffifin: 26).

Diperturunkan cara yang terbaik bagi menyambut dan menjalani ibadat di bulan Ramadhan.

Pertama: Berdoa supaya berpeluang berada di bulan Ramadhan dalam keadaan yang baik dan dapat melakukan ibadat, dari berpuasa, qiam dan zikir. Anas meriwayatkan yang Rasulullah (s.a.w.) bila memasuki bulan Rejab berkata: Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya`ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan - HR Ahmad dan al-Tabarani).

Para salaf al-salih berdoa agar mereka dapat berada di bulan Ramadhan dan memohon supaya segala amalan yang dikerjakan akan diterima oleh Allah SWT.

Apabila mereka berjaya menjejakkan kaki di bulan Ramadhan dan anak bulan Ramadhan telah kelihatan, mereka berdoa: Allah Maha Besar! Ya Allah! Muncul dan nampakkanlah kepada kami (anak bulan) dengan aman, iman, selamat, sejahtera dan taufik bagi perkara yang Kamu suka dan redha. Tuhan kami dan Tuhanmu adalah Allah - HR Tirmidhi, al-Darimi dan disahihkan oleh Ibn Hibban).

Kedua: Puji dan syukur akan ketibaan Ramadhan. Imam al-Nawawi ada menyebut dalam al-Adhkar: Sesungguhnya sangat digalakkan bagi sesiapa yang berulang ni`mat yang zahir atau tertolak bencana yang zahir untuk bersujud syukur kepada Allah.

Sesungguhnya adalah suatu ni`mat yang besar bagi seseorang hamba jika mendapat petunjuk untuk melakukan ketaatan dan ibadat. Hanya dengan memasuki bulan Ramadhan dalam keadaan yang baik adalah suatu ni`mat yang besar yang melayakkannya bersyukur kepada Allah SWT.

Ketiga: Bergembira dengan kedatangan Ramadhan. Rasulullah (s.a.w.). Rasulullah (s.a.w.) memberikan berita gembira kepada para sahabat dengan kedatangan Ramadhan. Katanya: Telah datang kepada kamu Bulan Ramadhan, Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan, Allah memfardhukan kamu berpuasa dan dibuka pintu-pintu syorga dan ditutup pintu-pintu neraka... HR Ahmad.

Para salaf al-salih dari kalangan sahabat dan tabiin cukup mengambilberat dengan bulan Ramadhan. Mereka sangat bergembira dengan kedatangannya. Apakah lagi kegembiraan lebih besar dari perkhabaran hampirnya Ramadhan yang merupakan musim keberkatan dan turunnya berbagai rahmat!!

Keempat: Berazam dan melakukan perancangan awal untuk memanfaatkan Ramadhan. Ramai di kalangan Muslim yang membuat perancangan yang kemas untuk urusan dunia tetapi tidak merancang apa-apa untuk akhirat. Ini berpunca dari sikap memandang sepi akan urusan akhirat dan lupa akan kepentingan kehidupan hari ini untuk bekalan bagi kehidupan yang kekal abadi di akhirat.

Kelima: Menanam azam yang kuat bagi merebut semua peluang dan memakmurkan setiap waktu dengan amal saleh.

Keenam: Mempelajari hukum-hukum yang berkaitan dengan Ramadhan. Selayaknya setiap Muslim beribadat kepada Allah berdasarkan ilmu. Dengan itu, mereka hendaklah mengetahui serba serbi mengenai puasa, agar ia dapat mengerjakannya dengan betul. Ia tidak segan untuk bertanya kepada mereka yang berkelayakan. Firman Allah: (Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berillmu, jika kamu tidak mengetahuinya.)(Surah al-Anbiya`, 7).

Ketujuh: Menyambut Ramadhan dengan azam untuk meninggalkan dosa dan kejahatan dan bertaubat dari segala dosa dan kejahatan yang lalu. Bulan Ramadhan adalah bulan taubat, jika tidak bertaubat pada bulan ini. Bila lagi mau bertaubat?
Firman Allah: (Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu mendapat kejayaan.)(Surah al-Nur, 31).

Kelapan: Persiapan jiwa dan rohani dengan membaca buku, risalah dan mendengar ceramah dan menghadiri pengajian dan berdiskusi berkaitan Ramadhan supaya setiap orang bersedia dari aspek kejiwaannnya untuk melaksanakan kewajipan yang bakal tiba.

Kesembilan: Menjalankan tugas dakwah dan mengajak kearah kebaikan. Ia boleh dilakukan dengan peringatan (tazkirah) rengkas untuk jamaah di masjid atau surau, membahagikan risalah mengenai Islam, mengagihkan hadiah Ramadhan (Ramadhan Gift) samada dalam bentuk buku, risalah, vcd dan seumpamanya dan sumbangan untuk fakir miskin dan golongan yang memerlukan. Peruntukkanlah dari pendapatan bulanan untuk projek kebajikan Ramadhan.

Kesepuluh: Menyambut Ramadhan dengan lebaran baru.
* Bersama Allah dengan Taubat yang benar.
* Bersama Rasulullah (s.a.w.) dengan mentaati apa yang diperintah dan menjauhi apa yang dilarang.
* Bersama kedua ibubapa, isteri atau suami dan anak-anak, kaum kerabat dengan kebaktian dan hubungan yang baik.
* Bersama masyarakat dengan aktiviti yang baik dan bermanfaat.


Jadual Harian bagi Muslim yang berpuasa:

Sebelum subuh:

1.Tahajjud. Firman Allah: (Apakah kamu wahai orang musyrik yang lebih beruntung) atau orang yang beribadat di waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? (Surah al-Zumar, 9).
2.Bersahur. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Bersahurlah sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatannya – HR Bukhari dan Muslim.
3.Beristighfar sehingga azan subuh. Firman Allah: (Dan di akhir-akhir malam mereka beristighfar (memohon keampunan kepada Allah). (Surah Al-Dhariyat: 18).
4.Solat sunat Fajar. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Dua rakaat fajar itu lebih baik dari dunia dan seisinya – HR Muslim.

Selepas terbit fajar:

1. Bersegera untuk menunaikan solat subuh berjamaah. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Andainya mereka tahu (kelebihan) solat Isya` dan Subuh, nescaya mereka akan datang walaupun merangkak – HR Bukhari dan Muslim.
2. Berzikir dan berdoa sehinggalah iqamat untuk solat Subuh. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Doa yang tidak ditolak antara azan dan iqamat – HR Ahmad, Tirmidhi dan Abu Dawud.
3. Duduk di masjid untuk zikir dan membaca al-Quran sehingga terbit matahari. Rasulullah (s.a.w.) terus berada ditempat duduknya sehingga terbit matahari – HR Muslim.
4. Solat sunat dua rekaat. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang melakukan solat subuh berjamaah kemudian duduk berzikir (mengingati Allah) sehingga terbit matahari, kemudian ia bersolat dua rekaat baginya pahala laksana menunaikan haji dan umrah selengkapnya – HR Tirmidhi.
5. Berdoa supaya diberkati sepanjang hari. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Ya Allah sesungguhnya aku bermohon darimu kebaikan bagi hari ini, permulaannya, pertolongannya, cahayanya, keberkatannya dan petunjuknya dan aku berlindung dari keburukan yang terdapat padanya dan keburukan sesudahnya – HR Abu Dawud.
6. Keluar untuk belajar atau bekerja. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Tidaklah bagi seseorang itu makanan yang lebih baik baginya kecuali dari hasil kerjanya sendiri kerana Nabi Allah Dawud makan hasil kerja tulang empat keratnya – HR Bukhari.
7. Memperbanyakkan zikir untuk sepanjang hari.
8. Infaq atau sedekah harian dengan menghayati doa malaikat: Wahai Tuhan! Kurniakan kepada mereka yang bersedekah itu gantian dari sedekahnya itu.

Dhohor:

1. Solat Dhohor berjemaah pada waktunya dan bersegera padanya. Ibn Mas’ud berkata: Bahawa Rasulullah (s.a.w.) mengajar kami Sunan al-Huda ( sunnah-sunah petunjuk) dan di antara sunan al-huda itu ialah solat di Masjid yang digumandangkan azan padanya – HR Muslim.
2. Berehat seketika dengan niat yang baik. Rasulullah (s.a.w.) bersabda: Bagi badan kamu juga ada haknya.

’Asar:

1. Solat ’Asar berjamaah dan didahului dengan solat sunat empat rekaat sebelumnya. Sabda Rasulullah (s.a.w.) : Allah merahmati orang yang bersolat empat rekaat sebelum solat fardhu ’Asar – HR Abu Dawud dan Tirmidhi.
2. Mendengar tazkirah di Masjid. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang ke masjid tiada niat lain kecuali untuk mempelajari kebaikan atau mengajar orang lain baginya laksana pahala haji yang sempurna pahalanya – HR al-Tabarani.
3. Duduk di masjid. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang berwudu` di rumahnya dan diperelakkan wudu`nya kemudian ke masjid, ia adalah tetamu Allah menjadi hak tuan rumah memuliakan tamunya – HR al-Tabarani.

Maghrib:

1. Berdoa sebelum masuknya waktu solat Maghrib. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka – antaranya - : Orang yang berpuasa sehingga berbuka.
2. Berbuka dengan juadah berbuka berserta doa.
3. Solat Maghrib berjamaah di rumah atau di masjid.
4. Wirid petang.
5. Bersama keluarga dan melakukan aktiviti yang bermanfaat.
6. Bersedia untuk solat ’Isya` dan solat sunat Terawih.

’Isya`:

1. Solat ’Isya` berjamaah.
2. Solat Terawih sepenuhnya bersama imam. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Sesiapa yang melakukan qiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah akan diampunkan dosanya yang lalu – HR Bukhari dan Muslim.
3. Melewatkan solat witir hingga ke akhir malam. Sabda Rasulullah (s.a.w.): Jadikan witir solat kamu yang terakhir pada waktu malam – Muttafaq ’alayh.


Program terbuka:

- Ziarah kaum kerabat, rakan dan jiran.

- Diskusi (keluarga atau terbuka).

- Hadir program kejiranan.